Program ‘Masih Ada Yang Sayang’ Ceriakan Anak Yatim di Paya Jaras Dalam
Foto : Sebahagian anak yatim tidak melepaskan peluang menaiki motosikal berkuasa tinggi.
Program ‘Masih Ada Yang Sayang’ Ceriakan Anak Yatim di Paya Jaras Dalam
SUNGAI BULUH – Menyantuni anak yatim merupakan amalan mulia dalam Islam yang menjanjikan ganjaran besar di sisi Allah SWT, termasuk dijanjikan syurga bersama Rasulullah SAW.
Prinsip kasih sayang dan keadilan sosial inilah yang dizahirkan menerusi program kebajikan anjuran Anita Entertainment & Productions di Rumah Kasih Harmoni Anak-Anak Yatim dan Asnaf, Kampung Paya Jaras Dalam, di sini, baru-baru ini.
Program bertemakan Santai Selebriti Media dan Bikers ‘Masih Ada Yang Sayang’ itu bertujuan menceriakan serta menyantuni penghuni rumah kebajikan berkenaan menerusi pendekatan kasih sayang, hiburan dan sumbangan keperluan asas.
Pengarah Urusannya, Anita Yusop, berkata program tersebut merupakan kesinambungan usaha kemanusiaan syarikatnya yang telah dilaksanakan sejak 12 tahun lalu melibatkan jelajah ke seluruh Malaysia dan Borneo.
“Program ini bukan sekadar memberi bantuan berbentuk material, tetapi juga menyuntik kegembiraan, perhatian dan sokongan emosi kepada anak-anak yatim yang amat memerlukan sentuhan kasih sayang,” katanya.
Program itu turut dimeriahkan dengan kehadiran beberapa artis dan selebriti antaranya Yantzen Juniwan (Rusty Blade), Seri Sarima, Alif, Saiful @ Epul serta Mikail dari kumpulan School Band. Kehadiran mereka menceriakan suasana apabila anak-anak yatim dihiburkan dengan persembahan nyanyian, silat dan tarian.
Turut mencuri tumpuan ialah kehadiran mengejut Pengerusi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan @ Toqqi, yang menambah kemeriahan suasana penuh syahdu apabila melihat keterujaan dan kemesraan anak-anak yatim yang dahagakan kasih ibu bapa.
Program berkenaan juga diserikan dengan penyertaan beberapa kelab motosikal berkuasa tinggi yang tampil menghulurkan sumbangan peralatan sekolah serta makanan, antaranya Iron Heart MC, SBK Kingdom Bikers, Predator Labuan dan Wak Muji Bikers. Kanak-kanak turut diberi peluang merasai pengalaman menaiki motosikal berkuasa tinggi di bawah pengawasan ketat.
Menurut Anita, dianggarkan lebih 100 tetamu hadir dan kebanyakannya tersentuh melihat realiti kehidupan anak-anak yatim di rumah berkenaan.
“Program ini menjadi pembuka tirai kepada siri jelajah kebajikan kami bagi tahun 2026 dengan penambahbaikan dari segi bentuk bantuan agar lebih berimpak dan menepati sasaran,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penaja dan rakan strategik antaranya Restoran Siti Zubaidah, Pasta7, Gadys Matchaa, AFC Food & Services Sdn Bhd serta Adamsofia Transportation Service @ Great Firash Travel & Tour Sdn Bhd atas sokongan berterusan dalam menjayakan misi kemanusiaan tersebut.
Program ini secara tidak langsung membuktikan bahawa menjaga kebajikan anak yatim bukan sahaja tuntutan agama, malah mampu membentuk masyarakat yang lebih penyayang, prihatin dan bertanggungjawab.-SAHIH.
