Program Jiwa Murni: Santuni Warga Emas, Suburkan Jiwa Kepemimpinan Mahasiswa PSSTLDM
Foto : Pengerusi PJMM, Azman Rasman dan Dr. Mohd Hasmadi Ismail (tengah) merakamkan kenangan bersama-sama 133 ahli Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM) Universiti Putra Malaysia (UPM).
Program Jiwa Murni: Santuni Warga Emas, Suburkan Jiwa Kepemimpinan Mahasiswa PSSTLDM
KAJANG – Program Jiwa Murni (PJM), inisiatif Kementerian Pertahanan Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), terus memberi impak positif apabila 133 ahli Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM) Universiti Putra Malaysia (UPM) menyantuni warga emas di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), baru-baru ini.
Program ini menjadi wadah mengeratkan hubungan antara ATM dengan masyarakat menerusi pelbagai aktiviti kebajikan, kesejahteraan dan pendidikan, di samping menyemai semangat kesukarelawanan serta keprihatinan dalam kalangan mahasiswa.
Komander Prof. Gs. Ts. Dr. Mohd Hasmadi Ismail PSSTLDM berkata, penglibatan mahasiswa daripada pasukan PALAPES Laut UPM dalam program ini bukan sahaja mengeratkan silaturahim bersama komuniti, malah membentuk sifat kepemimpinan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan mereka.

Ahli PALAPES Laut UPM bekerjasama mengecat gelanggang badminton PJMM.
“PJM membuka ruang kepada mahasiswa berinteraksi dengan masyarakat seperti penghuni rumah kebajikan, anak yatim serta golongan asnaf.
“Ini penting untuk menyedarkan mereka tentang realiti kehidupan dan keperluan membela golongan yang memerlukan,” katanya.
Katanya, antara aktiviti yang dijalankan termasuk senamrobik, gotong-royong membersihkan kawasan dan bilik penghuni, mengecat pagar dan gelanggang badminton, sesi permainan minda, karaoke serta aktiviti beramah mesra bersama warga emas.
Pegawai Staf PALAPES Laut UPM, Lt Muda Putri Syahmina Damia PSSTLDM pula menekankan bahawa aktiviti seperti ini menyuburkan nilai toleransi dan empati dalam kalangan ahli yang selama ini berdisiplin tinggi dalam latihan ketenteraan.
“Gerak kerja PJM mengajar mereka lebih memahami keperluan masyarakat yang sering terpinggir, dan membuka ruang untuk menyampaikan kasih sayang dan kegembiraan,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah PJM, Muhammad Irham Mohd Azri berkata, program komuniti seperti ini juga membantu mengurangkan tekanan dalam kalangan ahli PALAPES, selain menyemai semangat kerja berpasukan dan sokongan sesama anggota.
“Ia bukan sekadar latihan lapangan, tetapi juga pengalaman berharga sebagai mahasiswa dan anggota simpanan ATM yang berjiwa rakyat.
“PJM membuktikan peranan ATM bukan hanya dalam aspek pertahanan negara semata-mata, tetapi juga dalam membina masyarakat yang sejahtera dan berdaya tahan serta menjadikan pasukan simpanan sebagai aset negara yang menyumbang dalam pelbagai aspek kemanusiaan,” katanya. -SAHIH.