Pondok Al-Ulum Al-Qamariyyah Perlu Dana RM150,000 Untuk Baik Pulih Fasiliti Usang
Foto : Permandangan Sekolah Pondok Al-Ulum Al-Qamariyyah di Batu 10, Tanah Merah, Kelantan yang memerlukan sumbangan dana.
Pondok Al-Ulum Al-Qamariyyah Perlu Dana RM150,000 Untuk Baik Pulih Fasiliti Usang
PASIR MAS : Menyampaikan ilmu agama dianggap sebagai satu bentuk jihad di jalan Allah SWT kerana manfaatnya terus mengalir sebagai pahala meskipun setelah kematian, kata Mudir Pondok Al-Ulum Al-Qamariyyah, Baba Affendi.
Menurutnya, penyebaran ilmu agama bukan sahaja satu ibadah mulia, malah menjanjikan ganjaran besar di sisi Allah SWT bagi mereka yang mengajar secara ikhlas.
“Ilmu agama yang diajarkan akan menjadi saham akhirat. Rezeki orang yang menyebarkannya secara ikhlas juga dijamin oleh Allah SWT,” katanya ketika ditemui di pondok berkenaan di sini.

Baba Affendi dan Muhammad Bishrul menunjukkan kelas pengajian yang mengalami kerosakan dan perlu dibaik pulih.
Baba Affendi berkata, beliau memulakan pengajian agama selepas menamatkan persekolahan pada tingkatan tiga pada tahun 1988. Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran di beberapa sekolah pondok di Kelantan dan Selatan Thailand sebelum menyambung pengajian di Mekah selama lima tahun sehingga tahun 2000.
Sekembalinya ke tanah air, beliau membuka sebuah warung untuk menjual makanan sebagai punca pendapatan, sambil mengajar agama di surau dan sekolah pondok pada waktu malam.
“Beberapa tahun kemudian, seorang penduduk menawarkan sebidang tanah wakaf untuk saya membuka sekolah pondok dan meneruskan aktiviti pengajian agama di kampung ini,” ujarnya.
Sehingga kini, sebanyak 23 pondok kecil berukuran 10 kaki persegi telah dibina dan setiap satunya menempatkan seorang pelajar. Pelajar memasak sendiri makanan, malah hasil infak masyarakat digunakan untuk membekalkan beras dan keperluan asas kepada mereka.
“Sekolah pondok ini tidak menerima bantuan tetap daripada mana-mana pihak. Pelajar hanya dikenakan bayaran RM20 sebulan bagi menampung kos elektrik,” katanya yang kini turut mengikuti pengajian dalam bidang tasawuf di Pondok Kampung Aur Cina, Pasir Mas.
Sementara itu, Pembantu Mudir, Muhammad Bishrul Haafi berkata, banyak pondok pelajar dan wakaf kelas pengajian kini dalam keadaan uzur akibat penggunaan bahan kayu dan papan lapis sejak lebih tujuh tahun lalu.
Katanya, lantai dan struktur pondok mulai mereput menyebabkan proses pembelajaran terpaksa dijalankan di masjid kampung yang dibina beberapa tahun lalu.
“Kami sedang berusaha mengumpul dana sebanyak RM150,000 bagi membaiki pondok yang rosak, membina lima pondok baharu serta menambah baik kemudahan asas seperti atap masjid dan bekalan air,” jelasnya.
Justeru, orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkan bantuan melalui akaun berikut:
- Bank Islam: 030540 10034957 (Tetuan Pondok Al-Ulum Al-Qamariyyah)
- Maybank: 5530 1062 3251 (Madrasah Al Ulum Al Qomariyyah)
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Baba Affendi di talian 011-1493 7726 atau Muhammad Bishrul Haafi di 011-1797 7287.-SAHIH.