Polis Bentong cari pemandu berlumba terlibat kemalangan di Jalan Genting Highlands
Foto atas : Tangkap layar sebuah video yang dimuatnaik oleh Facebook ‘Joekim Mako” berkautan kejadian tersebut.
Polis Bentong cari pemandu berlumba terlibat kemalangan di Jalan Genting Highlands
BENTONG – Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Ibu Pejabat Polis Daerah (BSPTD) Bentong sedang mengesan dan memanggil seorang pemandu yang terlibat dalam kemalangan di KM 15.6 Jalan Genting Highlands, dekat sini, pada Ahad.
Kejadian itu ditularkan oleh seorang pemilik media sosial Facebook ‘Joekim Mako’ yang dimuat naik melalui JB Tracer : Johor Bahru Traffic, Crime and Community’ yang melibatkan sebuah kereta dipandu oleh seorang lelaki warganegara tempatan berusia 27 tahun.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superitenden Zaiham Mohd Kahar berkata, kemalangan itu berlaku apabila pemandu kereta tersebut dalam perjalanan dari Serdang, Selangor menuju ke Genting Highlands pada jam 7.25 pagi, hari Ahad.
“Video yang tular berdurasi 30 saat yang dirakamkan melalui kamera papan pemuka (dashcam) itu memaparkan apabila tiba di selekoh kawasan kemalangan itu, pemandu tersebut telah memotong sebuah kenderaan lain lalu hilang kawalan dan terbabas ke sebelah kiri jalan.
“Pemandu tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan. Kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.
Zaiham berkata, semakan ke atas kenderaan terbabit juga mendapati ia mempunyai sebelas rekod saman.
“Pihak polis mengucapkan ribuan terima kasih kepada masyarakat kerana prihatin serta sentiasa membantu pihak berkuasa untuk memaklumkan insiden yang berlaku di sekeliling.
“Pihak kami berharap semua pengguna jalan raya sentiasa memandu kenderaan secara berhati-hati dan tidak memandu atau menunggang secara melulu dan merbahaya serta mendidik diri lebih mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya,” katanya.-SAHIH.