PERUNTUKAN JALAN LADANG DIUTAMAKAN
PERUNTUKAN JALAN LADANG DIUTAMAKAN
TEMERLOH: Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi menyediakan peruntukan bagi jalan ladang yang rosak akibat banjir.
Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, mereka yang terkesan kerana jalan ke ladang mereka rosak boleh cuba memohon untuk dipertimbangkan kementeriannya.
Terbaharu, kementerian itu telah meluluskan peruntukan bagi menggantikan jambatan gantung di Kampung Ulu Raub, Pahang dengan jambatan baharu yang dinilai oleh Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS).
Ia bagi memudahkan 27 keluarga di kampung itu mendapat jalan perhubungan yang selamat.
Bagaimanapun katanya setakat ini, tiada peruntukan lain disediakan untuk sektor perladangan akibat banjir.
Namun, kementerian akan memastikan bantuan umum akan disalurkan kepada sebahagian penduduk terjejas banjir dalam bentuk wang tunai dan barangan keperluan di seluruh negara.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas misi bantuan banjir dekat sini.
Pada program itu, seramai 230 keluarga yang terjejas banjir menerima tilam sumbangan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara.