PERKARA PERLU BUAT UNTUK DAPAT JODOH
PERKARA PERLU BUAT UNTUK DAPAT JODOH
7 Perkara Perlu Buat Untuk Dapatkan Jodoh
Berkahwin adalah fasa hidup yang paling dinantikan oleh setiap manusia. Walaupun jodoh adalah rahsia Allah, sebagai manusia kita bukan hanya menunggu tanpa sebarang usaha.
Jodoh perlu dicari. Ia bukan seperti bulan jatuh ke riba. Mungkin ada sebab mengapa jodoh anda tidak kunjung tiba. Untuk mendapatkan jodoh, cuba anda baca dan amalkan perkara seperti di bawah.
Niat Hati
Jangan cari pasangan sebab kawan-kawan lain sudah mempunyai pasangan hidup. Setiap orang mempunyai jalan kehidupan yang berbeza. Jangan paksa diri untuk mencapai sesuatu yang anda tidak mampu. Bersihkan hati dan betulkan niat cari pasangan kerana Allah.
Yakin Dengan Takdir
Sebagai manusia jangan sesekali putus harapan. Kuatkan semangat dan yakin rezeki, jodoh dan ajal hanya ditentukan oleh Allah. Yakin dengan aturan hidup anda.
Berdoa
Senjata seorang Muslim adalah berdoa. Selain itu anda juga perlu banyak bersabar dan berusaha. Apabila sudah sampai masa yang tepat, doa anda akan dimakbulkan. Dekatkan diri dengan Allah dan banyakkan amalan sunat seperti sedekah, sertai aktiviti agama, solat sunat dan puasa.
Berbakti Kepada Ibu Bapa
Doa ibu bapa adalah doa terbaik. Jangan abaikan ibu bapa. Jika anda masih bujang atau tiada pasangan, janganlah bersedih malah gantikan kekurangan itu dengan keindahan. Menjaga ibu bapa perkara yang tidak merugikan. Jasa ibu bapa tidak ternilai dengan hanya menjaga mereka dan sentiasa bersama mereka adalah terbaik untuk anda.
Jadi Lebih Baik
Jangan cari kesempurnaan daripada seseorang tetapi baiki diri untuk menjadi sempurna untuk seseorang. Setiap manusia ada kelebihan dan kelemahan, ubah diri sendiri untuk jadi lebih baik.
Jangan Terlalu Memilih
Untuk memilih pasangan bukan mudah, pastinya anda mahukan yang terbaik untuk bersama hingga ke akhir hayat. Cukuplah pasangan yang mampu sempurnakan diri anda kerana anda juga bukanlah manusia sempurna. Setiap orang ada kelemahan, gantikan kelemahan pasangan dengan kelebihan yang anda miliki. Jangan letak syarat terlalu tinggi, jangan tolak seseorang kerana tidak memenuhi kehendak anda. Ingat, setiap pasangan melengkapi antara satu sama lain.
Bersosial
Sekali-sekala tidak salah anda cuba menyertai majlis keramaian seperti kenduri, majlis hari jadi, aktiviti sukarela atau reunion sekolah. Mungkin jodoh anda ada di majlis tersebut. Jangan malu, buang sedikit rasa malu dan beranikan diri untuk menegur orang sekeliling.