Penyelidikan bahasa diketengahkan pada Persidangan Antarabangsa Penyelidikan Korpus 2024
Foto : Antara peserta dan pembentang yang menyertai iCRC 2024 merakamkan kenangan bersama Saraswathy.
Penyelidikan bahasa diketengahkan pada Persidangan Antarabangsa Penyelidikan Korpus 2024
PENYELIDIKAN bahasa berasaskan korpus yang diketengahkan pada Persidangan Antarabangsa Penyelidikan Korpus 2024 (iCRC 2024) melambangkan satu gagasan pemikiran yang sejagat dalam menyatupadukan dan mengharmonikan persefahaman antarabangsa.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator Saraswathy Kandasami, berkata kementerian itu sentiasa cakna dan memandang berat peranan bahasa dalam konteks perpaduan.
Saraswathy menyampaikan anugerah Adi Cendekia kepada Debbie Grace Frederick Matt.
“Kepelbagaian bahasa di Malaysia bukan sahaja lambang semata-mata, tetapi sebuah pemikiran dan identiti masyarakat majmuk yang mendiami tanah ini sendiri.
“Penyelidikan tentang bahasa harus dirancakkan secara berterusan bagi menyumbang satu makna berwawasan untuk pendidikan, kelestarian perpaduan dan pembangunan insan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan iCRC 2024 anjuran Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, di Scholar’s Suites, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City, baru-baru ini.
Katanya, beliau yakin dan berharap supaya persidangan itu dapat mewujudkan kerjasama, perkongsian fikiran dan meluaskan jaringan ilmu serta penyelidikan dalam kalangan sarjana tempatan mahupun antarabangsa.
Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff dalam ucapannya pula, yang disampaikan Ketua Pegawai Digital, Ts Dr Megat Azrin Ahmad, berkata UPSI sudah lama memperkaya dan mengangkat bahasa Bumiputera dan bahasa pribumi, termasuklah bahasa etnik di Malaysia dalam gelanggang pendidikan dan akademik.
“Pada tahun ini, Fakulti Bahasa dan Komunikasi menandatangi Memorandum Persefahaman (MoU) antara UPSI dengan Yayasan Bank Rakyat (YBR) iaitu penajaan RM7.5 juta kepada bakal pelajar untuk melanjutkan Pengajian Bahasa Etnik di UPSI.
“Hari ini UPSI juga sudah berjaya memperkenal hampir 10 bahasa dalam program pengajian, iaitu bahasa Melayu, Inggeris, Tamil, Cina, Arab, Sepanyol, Jerman, Jepun dan bahasa etnik, khususnya Kadazan-Dusun, Iban serta orang asal Semai,” katanya.
Katanya, beliau yakin persidangan ini menjadi satu agenda dan paradigma UPSI yang bukan sahaja untuk melonjakkan penyelidikan bahasa, malah daya usaha UPSI untuk mengharmonikan kesefahaman dan mewujudkan jaringan serta memupuk perpaduan.-SAHIH.