Penunggang wanita hadapi detik cemas dihempap papan iklan di Jerantut
Penunggang wanita hadapi detik cemas dihempap papan iklan di Jerantut
JERANTUT : Seorang penunggang motosikal wanita berdepan detik cemas apabila dihempap papan iklan besar yang terletak di Persimpangan Lampu Isyarat Tok Gajah, Jalan Jerantut- Maran pada jam 3.20 petang semalam.
Ketua Polis daerah Jerantut, Superitendan Azman Mat Kamis berkata, ketika tiba di tempat kejadian, mangsa, Muniammah A/P Gananam, berusia 57 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha telah dihempap papan iklan yang melayang ke arahnya.
“Ketika penunggang itu melepasi lampu isyarat berwarna hijau, tiba-tiba angin kencang bertiup dan membadai papan iklan itu yang melayang menghempap mangsa.
“Hasil siasatan dan pengumpulan maklumat, kejadian berlaku semasa cuaca hujan lebat dan angin kencang,” katanya melalui kenyataan media hari ini.
Katanya, akibat kejadian ini, mangsa telah mengalami kecederaan di bahagian dahi dan mata dan telah dihantar ke Hospital Jerantut untuk menjalani rawatan lanjut.
“Akibat kejadian ini, mangsa seorang pekerja Alam Flora turut mengalami patah tulang belikat, sekarang mangsa dalam keadaan pesakit stabil dan tiada berlaku kecederaan atau pendarahan di kepala.
“Kejadian ini tidak dimaklumkan kepada pihak polis tetapi telah tular di media sosial,” katanya. – SAHIH.