Pengguna Jalan Padang Piol-Kuala Tahan bimbang selisih lori balak
Foto atas : Kejadian lori balak terbalik di salah satu selekoh Jalan Padang-Piol-Kuala Tahan baru-baru ini. Kredit : FB – Zamri Mat Amin
Pengguna Jalan Padang Piol-Kuala Tahan bimbang selisih lori balak
JERANTUT : Pengguna laluan Jalan Padang Piol ke Kuala Tahan sentiasa dalam perasaan kebimbangan dan ketakutan sekiranya berselisih dengan lori bermuatan kayu balak yang dibawa keluar dari arah Kuala Tahan ke bandar.
Seorang penduduk laluan itu, Zamri Mohd Amin berkata, selain itu lori tersebut bermuatan kayu balak, kejadian lori balak terbalik kerap berlaku.
“Hari ini, berlaku sekali lori terbalik di salah satu selekoh menghala ke bandar Jerantut.
“Apabila berlaku lori terbalik, laluan itu tersekat, kadang-kala sehingga sejam sebelum kayu balak dapat dialihkan dan melibatkan pengguna lain turut tergendala untuk urusan di bandar Jerantut,” katanya.
Katanya, dipercayai lori terbalik itu disebabkan lebih had muatan dan dalam keadaan laju terutama apabila sampai di jalan berselekoh di situ.
“DIharap pihak berkuasa mengambil tindakan tegas kepada pengusaha dan pemandu lori demi menjaga keselamatan pengguna lain,” katanya .
Seorang penduduk Tembeling Tengah, Suhaimi Yaakob, berkata, banyak selekoh dari Jalan Jerantut-Maran khususnya ke Felda Padang Piol yang agak bahaya.
“Malah ada selekoh di tepi jalan yang bercerun turut terhakis akibat dibawa air hujan yang turun dari tepi bukit.
“Oleh itu pengguna jalan ini perlu berhati-hati di kawasan tersebut sekiranya berselisih dengan kenderaan lain terutama lori balak ,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jerantut, Superitendan Azman Mat Kamis berkata, perkara ini telah menjadi perhatian pihak polis dan tindakan kepada pemandu kenderaan bukan sahaja di bawah undang-undang trafik tetapi juga akan diambil di bawah undang undang lain.
“DIharap pengguna berhati-hati dan kepada pengusaha pembalakan turut dinasihatkan jangan mengisi muatan balak lebih muatan dan kepada pemandu lori berkenaan bertimbang rasa kepada pengguna lain,” katanya.- SAHIH.