Peneroka rayu RM300 dibayar kepada semua peneroka tanpa syarat
Peneroka rayu RM300 dibayar kepada semua peneroka tanpa syarat
JERANTUT : Golongan Peneroka Felda mahu pengumuman Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mengumumkan bantuan khas bersasar sebanyak RM300 kepada peneroka berpendapatan kurang RM1,000 baru-baru ini dikaji semula.
Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud
Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud berkata, TPM yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut mengumumkan peneroka yang berpendapatan RM1,001 hingga RM2,000 turut mendapat penangguhan potongan hutang (tidak termasuk Kos Operasi Ladang) untuk hasil bulan Mac.
Katanya, beliau bagi pihak peneroka Felda Jengka 24, merayu dan berharap RM300 itu wajar diberi kepada semua peneroka di seluruh negara kerana hasil sawit pada ketika ini tidak banyak dan turut melawas.
“Ini dapat membantu meringankan perbelanjaan peneroka untuk menghadapi sambutan hari raya yang bakal menjelang tidak lama lagi.
“Selain buah sawit melawas, hasil pengeluaran sawit turut terjejas kerana faktor musim panas el-nino ketika ini,” katanya ketika ditemui hari ini.
Katanya, beliau bersetuju kenyataan yang dikeluarkan oleh Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi Dan Usahawan Negeri Pahang yang turut menyokong bayaran RM300 dibayar kepada semua peneroka di seluruh negara.
Seorang lagi Ketua Peneroka Gelanggi Satu, Abdul Rahman Ghani berkata, bantuan ini sangat membantu kepada peneroka meringankan beban bagi menghadapi sambutan Aidilfitri pada tahun ini.
Katanya, bantuan RM300 wajar diberi kepada semua peneroka melihatkan keadaan harga barangan keperluan tidak menentu ketika ini.
“Semoga TPM mempertimbangan semula cadangan bayaran bersasar itu dikaji dan merayu diberi kepada kami (peneroka) secara sama rata tanpa syarat,” katanya.- SAHIH.