PENDUDUK FELDA PANCHING DIBANTU DAPATKAN VAKSIN, PERCEPATKAN IMUNISASI KELOMPOK
PENDUDUK FELDA PANCHING DIBANTU DAPATKAN VAKSIN, PERCEPATKAN IMUNISASI KELOMPOK
KUANTAN, 3 OGOS : Kira-kira 1,840 penduduk Felda Sungai Panching Selatan dan Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Panching di sini dibantu mendapatkan vaksin Covid-19.
Ia usaha Markas Angkatan Bersama menerusi Civil-Military Cooperation (CIMIC) dalam usaha mempercepatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) mencapai imuniti kelompok di daerah Kuantan.
Seorang lelaki mendapatkan vaksin di pusat vaksinasi sambil diperhatikan Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah.
Menurut kenyataan media, program yang dikelolakan Markas Angkatan Bersama itu diadakan tiga hari sehingga 5 Ogos ini di Dewan Semai Bakti Felda Sungai Panching Selatan.
Berdasarkan kenyataan yang keluarkan Markas Angkatan Bersama, dijangka seramai 600 orang penduduk akan divaksin pada setiap hari.
“Program itu turut mendapat kerjasama daripada Pejabat Kesihatan Daerah yang menyediakan vaksin dan petugas kesihatan.
“Selain itu, Pengurusan Felda Sungai Panching, Jawantankuasa Kemajuan dan Keselamatan Penduduk (JKKK) Felda Sungai Panching Selatan dan JKKK PAKR Panching turut bekerjasama membantu menjayakan program ini,” katanya.
Sementara itu, Markas Angkatan Bersama berharap dapat terus melaksanakan program berimpak tinggi kepada rakyat melalui rancangan beberapa lagi siri program CIMIC pada masa akan datang.
Menurut Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, rakyat di negeri itu yang masih belum mendapatkan vaksin, boleh mendaftar vaksinasi melalui Aplikasi MySejahtera.
Jika tiada aplikasi tersebut, boleh daftar menerusi Sistem Imunisasi Kobid-19 Pahang (SICP) https://vaksin.pahang.gov.my/, atau boleh ke laman sesawang vaksincovid.gov.my dan talian hotline 1800-888-828.