Penduduk dua taman perumahan mohon segera pulih tebing runtuh
Foto atas : Lereng bukit yang runtuh setinggi kira-kira 10 meter perlu dibaiki segera.
Penduduk dua taman perumahan mohon segera pulih tebing runtuh
JERANTUT : Penduduk dua taman perumahan, Taman Saujana Putra dan Taman Saujana Utama memohon pihak berwajib membaikpulih runtuhan tebing dan berlaku laluan mendap ke jalan masuk kawasan penempatan berdekatan Jalan Temin – Temerloh di sini.
Penduduk 2 taman tersebut seramai kira-kira 1,000 orang penduduk serta beberapa premis perniagaan bimbang akan berlaku runtuhan lebih serius sekiranya tidak dilakukan dengan segera langkah membenteng dengan tembok konkrit.
Seorang penduduk Taman Saujana Putra, Rosmadi Sulaiman berkata, diharapkan usaha membaikpulih laluan itu perlu dilakukan dengan segera kerana ia merupakan laluan utama penduduk keluar masuk dan juga termasuk kenderaan berat yang mengisi minyak di sebuah stesen minyak berdekatan.
“Melihat keadaan masa ini, kejadian runtuhan tebing itu akan berlaku, penduduk akan berdepan bahaya setiap kali melalui jalan itu kerana keadaan cuaca tidak menentu dan kerap berlaku hujan lebat di sini.
“Keadaan ini menimbulkan penduduk di situ tidak selesa, malahan boleh mengundang perkara yang tidak diingini berlaku kerana bimbang tepi laluan itu kelihatan tidak stabil, ” katanya.
Katanya, kejadian ini telah berlaku sejak tahun lalu, kemungkinan boleh diancam bahaya sekiranya berlaku runtuhan atau mendapan tanah di situ menjadi lebih serius.
Pengerusi Komuniti Rukun Tetangga (KRT) Penduduk Taman Saujana Putra, Ahmad Fahmi Daud berkata, runtuhan tebing dan mendapan tanah berlaku sejak musim hujan tahun lalu dan musim hujan yang berlaku hampir setiap petang sekarang.
“Hujan lebat tersebut turut menghakis tanah di lereng jalan tersebut , sebelum ini pihak terbabit menutup sebagai langkah jangka pendek dengan kanvas supaya tanah di situ tidak dihanyutkan air hujan.
“Laluan yang runtuh itu menyempitkan laluan masuk ke taman ini dan saya tidak tahu status sebenarnya bila kerja membaikpulih hendak dilakukan oleh pihak berkenaan,” katanya.
Katanya, pihak berwajib perlu memberikan keutamaan usaha baik pulih dan jangan menanti ada kemalangan yang meragut nyawa dan kecederaan teruk berlaku.
“Usaha membaikpulih laluan tersebut amat penting demi keselamatan orang ramai yang setiap hari keluar masuk ke taman perumahan dan premis berdekatan situ,” katanya.- SAHIH.