Pendidikan Tanpa Sepadan: Banduan timba ilmu di Perpustakaan Tuanku Bainun UPSI
Foto : Prospek dibawa melihat koleksi buku yang ada di Perpustakaan Tuankau Bainun yang terletak di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah
Pendidikan Tanpa Sepadan: Banduan timba ilmu di Perpustakaan Tuanku Bainun UPSI
TANJONG MALIM – Seramai 20 prospek dari Penjara Kluang, Johor yang sedang mengikuti Diploma Keusahawanan Pelita Suluh Budiman Kohort 2 di bawah Fakulti Pengurusan Ekonomi (FPE), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), diberi peluang menimba ilmu secara langsung di Perpustakaan Tuanku Bainun (PTB), UPSI.
Prof. Madya Dr Mohd Asri Mohd Noor berkata, program ini dilaksanakan bersempena Program Perkongsian Penubuhan dan Pendaftaran Perniagaan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bersama pihak Penjara Kluang.
“Kejayaan kohort pertama yang bergraduat dalam Istiadat Konvokesyen UPSI ke-26 pada tahun 2024 menjadi pendorong kepada kesinambungan program ini.

Prospek bersama kakitangan Penjara Kluang yang melawat Perpustakaan Tuanku Bainun
“Inisiatif ini selari dengan hasrat Menteri Pendidikan Tinggi dan KPT untuk menyediakan pendidikan tanpa sepadan kepada semua golongan, tanpa mengira latar belakang,” katanya
Katanya, peserta diberi taklimat khas oleh Pengarah SSM Negeri Perak, Azurah Nor Sarif mengenai pelbagai skim sokongan seperti Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma (SPPP), Skim 1 OKU 1 Perniagaan (S1O1P) dan SSM BIZTRUST.
Sementara itu, Ketua Jabatan Pengurusan Perniagaan dan Keusahawanan, Dr. Suzyanty Mohd Shokor, menyifatkan kerjasama ini sebagai langkah strategik dalam memperkasa ilmu keusahawanan serta memberi peluang kedua kepada peserta.
“Peserta turut diberi pendedahan tentang penggunaan perpustakaan akademik, teknik pencarian sumber maklumat dalam talian, serta koleksi buku berkaitan bidang perniagaan
“Program ini membuktikan bahawa pendidikan adalah hak semua dan mampu menjadi alat pemulihan serta pembangunan diri – walaupun dari sebalik tirai besi,” katanya.
Ketua Pustakawan PTB, Noriha Muhammad, menyatakan bahawa perpustakaan harus terbuka kepada semua, termasuk golongan prospek, bagi memastikan akses kepada ilmu yang berkualiti untuk pembinaan semula kehidupan.
“PTB percaya bahawa ilmu adalah kunci perubahan hidup dan ini selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) untuk menjamin akses kepada pendidikan yang inklusif dan berdaya saing,” katanya. -SAHIH.