Pemilik kejar pencuri motosikal miliknya, pencuri berjaya melarikan diri
Pemilik kejar pencuri motosikal miliknya, pencuri berjaya melarikan diri.
JERANTUT – Seorang lelaki gagal melarikan sebuah motosikal yang dicurinya apabila dikejar oleh pemilik motosikal itu apabila suspek terjatuh kerana terbabas di tepi jalan berdekatan kawasan perkuburan Batu Balai, Jalan Jerantut-Benta, dekat sini awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superitenden Mazlan Hassan berkata, walaupun terjatuh, suspek tersebut telah berjaya melari dan menghilangkan diri di dalam gelap.
Katanya, sebelum kejadian itu disedari, pemilik motosikal itu setelah mendengar bunyi enjin motosikal miliknya dihidupkan kira-kira jam 3.30 pagi, hari ini.
“Pemilik motosikal itu, seorang pemandu lori berusia 30 tahun terus keluar dan mendapati motosikal jenis Honda Ex-5 warna hitam tiada di tempat dia letakkan di garaj hadapan rumahnya Jalan Benta, Kampung Damak, dekat sini.
“Menyedari motosikalnya hilang, dia terus mencari motosikalnya sehingga ke Stesen Minyak Five, Batu Balai, dekat sini,” katanya.
Mazlan berkata, ketika dalam perjalanan balik ke rumah, pemilik terserempak dengan motosikal miliknya ditunggang oleh suspek dan mengejarnya sehingga sampai di hadapan kawasan perkuburan Batu Balai.
“Suspek telah terjatuh di bahu jalan disebabkan terbabas, suspek berjaya melarikan diri dan meninggalkan motosikal yang dicurinya.
“Pihak polis masih menjejaki suspek dan kes disiasat di bawah Sek 379A/511 Kanun Keseksaan,” kaatanya.-SAHIH.