Pemandu wanita maut dalam kemalangan di Jalan Jerantut-Temerloh
Pemandu wanita maut dalam kemalangan di Jalan Jerantut- Temerloh.
JERANTUT : Seorang wanita berusia 60 tahun maut dan seorang lelaki dewasa cedera dalam kemalangan yang berlaku di Jalan Jerantut- Temerloh pada jam 9.23 pagi ini.
Komandan Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Temerloh, Khairul Azzahar Karim berkata, kemalangan itu melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Kembara nombor pendaftaran WGF 3322 telah bertembung dengan sebuah kereta jenis Hyundai Santa Fe (WD 4317A).
“Terdapat seorang mangsa wanita yang memandu Perodua Kembara tersepit dan disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan.
“Manakala, pemandu sebuah lagi kereta mengalami kecederaan,” katanya.
Katanya, anggota pasukan bomba melakukan kerja mengeluarkan mangsa wanita yang tersepit menggunakan peralatan penyelamat khas dan mangsa yang cedera diberi rawatan awal dan dihantar ke hospital.
“Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.-SAHIH.