PELUANG LIHAT PELANGI DI ATAS KEPALA
KUANTAN – Air Terjun Pelangi merupakan destinasi wajib bagi pelancong luar seperti China dan Singapura apabila melancong ke Sungai Lembing, di sini.
Tidak ketinggalan, pelancong tempatan juga pasti teruja untuk sampai ke air terjun ini untuk melihat sendiri pembentukan pelangi yang hanya berketinggian 50 meter di atas kepala.
Menurut peserta daripada kumpulan Neuhikers, Norasikin Abbas,35, dari Felda Bukit Kuantan, hasrat untuk ke air terjun tersebut sudah bertahun, namun kerana kekangan kerja, beliau terpaksa menangguhkan dahulu perjalanan ke sini.
Beliau berkata, perjalanannya berbaloi apabila dapat melihat sendiri pelangi yang muncul di air terjun tersebut.
“Untuk ke sini, kami perlu menaiki kenderaan pacuan empat roda dari bandar Sungai Lembing lebih kurang jam 8 pagi sebelum berkumpul di Lubuk Kera.
“Setiba di Lubuk Kera, kami kemudian perlu mengharungi sungai kira-kira 30 meter, kemudian kami perlu berjalan kaki di atas laluan berbatu yang mengambil masa kira-kira 30 minit untuk sampai ke air terjun pelangi.
“Saya fikir, perjalanan ni sesuai untuk semua golongan kerana laluannya tidak berbahaya cuma sedikit licin dan perlu membawa tongkat agar tidak tergelincir.
“Saya bersyukur kerana berpeluang untuk sampai ke air terjun ini dan melihat kebesaran Allah SWT, bukan sahajadapat melihat pelangi, malah dapat melihat batuan yang bertingkat-tingkat serta airnya yang sangat sejuk, “katanya kepada wartawan SAHIH di sini, hari ini.
Sementara itu, Mohd Riduwan Shah Aziz,35, berkata, perjalanan tersebut disertai 60 peserta Neuhikers yang rata-ratanya merupakan pencinta alam dan gemar mendaki bukit di negeri Pahang.
“Kami bergerak dari bandar Sungai Lembing seawal 7 pagi dan sampai ke Lubuk Kera kira-kira 8.30 pagi sebelummeneruskan perjalanan ke air terjun pelangi.
“Mujurlah kami sempat melihat pelangi itu kerana mengikut cerita orang pelangi akan hilang lebih kurang jam 10 pagi ke atas, kerana tidak terbias daripada cahaya matahari.
“Pelangi juga tidak muncul jika berlaku hujan di kawasan air terjun tersebut. Saya berpuas hati dengan perjalanan ini dan berharap dapat pergi lagi ke sini pada masa akan datang.
“Sebelum ini saya hanya mampu melihat biasan pelangi di langit tetapi di sini saya boleh menyentuh warna-warna pelangi yang terpancar di permukaan air,” katanya.
Justeru, bagi mereka yang berada jauh dari Sungai Lembing, pelbagai kemudahan disediakan di sini seperti tempat penginapan, perkhidmatan sewa pacuan empat roda dan perkhidmatan sewa kasut getah untuk keperluan pengunjung. – SAHIH