Pelajar UIAM Pagoh santuni PJMM
Foto atas: Pelajar membuat senaman ringan bersama-sama warga emas untuk membina kecergasan.
Pelajar UIAM Pagoh santuni PJMM
Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) cawangan Pagoh, Johor mengadakan Program Projek Jalinan Muhibah bersama Mahmudah di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, baru-baru ini.
Program itu menepati latihan luar kampus pelajar terbabit dalam mempertingkat keyakinan dan jati diri dengan berpegang utuh kepada nilai-nilai adat, budaya, agama dan bangsa apabila berada dalam lingkungan komuniti masyarakat pelbagai kaum.
Ketua Jabatan Bahasa Melayu (Kuliyyah Pelancongan Mampan dan Bahasa Kontemporari) UIAM Kampus Pagoh, Dr Nurul Jamilah Rosli, berkata apa yang pelajar belajar dalam bilik kuliah secara teori yang belum mencukupi atau menepati apabila mereka berdepan dengan masyarakat dalam kehidupan yang sebenar.
Dr Nurul Jamilah Rosli dan Azman Ras,am melakukan gimik perasmian Program Projek Jalinan Muhibah bersama Mahmudah.
Justeru itu, hasil kerjasama semua pihak termasuk dalam kalangan pelajar sendiri membawa mereka keluar ke lapangan untuk menimba pengalaman menyantuni warga emas secara realiti dengan mempraktikan ilmu yang dipelajari dalam bilik kuliah.
“Program dianjurkan ini menepati dengan kursus dalam Program Sarjana Muda Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa diikuti pelajar terbabit yang membantu mereka bagi mula membina pengalaman baharu berdepan dengan orang ramai termasuk warga emas.
“Pelajar akan memahami khususnya sikap warga emas di pusat jagaan sebagai contoh menghadapi pelbagai masalah yang bukan setakat sahaja uzur malah ada antara mereka pelupa, dan kena bertanya berkali-kali untuk memahami apa soalan yang diajukan atau mengikuti arahan,” katanya.
Tambahnya, semua ini akan menguji kesabaran pelajar terbabit dan memikirkan cara terbaik bagi menyantuni warga emas seperti itu seperti bahasa yang perlu dituturkan, berlembut penuh sopan dan paling penting bersabar dengan mereka apabila bekerjaya nanti.
“Saya berpuas hati dengan pembabitan pelajar dalam program ini yang menunjukkan mereka bersikap positif dalam menjaga tatasusila melayani warga emas walaupun kali pertama terbabit dengan aktiviti khidmat komuniti,” ujarnya ketika ditemui pada majlis perasmian program berkenaan.
Sementara itu, Pengurus Program berkenaan, Jihan Irniesha Mohd Nazri, berkata objektif program itu adalah bagi mempertingkat kemahiran berbahasa pelajar melalui interaksi dengan warga emas, menekankan penggunaan bahasa yang santun dan hormat-menghormati.
Katanya, program ini untuk memupuk kesedaran sosial dalam kalangan pelajar mengenai keperluan dan keinginan warga emas, dengan menitikberatkan kepentingan menunjukkan budi bahasa melalui komunikasi yang beretika.
“Program ini juga merupakan tugasan bagi subjek BMCO 3102: Kesantunan Berbahasa yang memerlukan pelajar untuk menghasilkan sebuah projek bagi menerapkan amalan kesantunan.
“PJMM dipilih kerana pusat jagaan berkenaan merupakan antara pusat jagaan yang terbaik dari aspek penerimaan untuk menjalankan program serta amat responsif terhadap sebarang pertanyaan yang diajukan, urusan bersama pihak pusat itu juga amat mudah untuk pihak kami bekerjasama,” katanya.
Menurutnya, antara aktiviti dilakukan dalam program itu termasuklah senaman ringan, kotak beracun iaitu memerlukan warga emas menyanyi, berpantun atau bersajak dan secara tidak langsung mewujudkan hubungan ramah mesra serta pemberian hadiah kepada mereka.-SAHIH.