Pelajar Maahad Tahfiz serta program jalinan mesra
Foto : Safwan Ramlee (kanan) bersama-sama pelajar Maahad Tahfiz Al-Ikhwan merakamkan kenangan selepas bekerjasama membersihkan bilik warga emas dan kemudahan yang disediakan di PJNH.
Pelajar Maahad Tahfiz serta program jalinan mesra
MEMBENTUK sahsiah diri untuk memiliki keperibadian mulia dalam menuntut ilmu apabila berada dalam komuniti masyarakat menjadi pendorong kepada 25 pelajar Maahad Tahfiz Al-Ikhwan, Bandar Tasik Kesuma menyertai Program Jalinan Kasih di Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), Beranang, Selangor.
Program anjuran kumpulan Muslimah Masjid Rinching Hulu itu adalah untuk menyantuni warga emas yang terdampar di pusat jagaan berkenaan sebagai salah satu kegiatan amal kebajikan komuniti yang diadakan baru-baru ini.
Pengerusi maahad tahfiz berkenaan, Safwan Ramlee, berkata dia bersama-sama pelajarnya terpanggil untuk menyertai kumpulan muslimah apabila menyedari program itu memberi landasan terbaik dalam membentuk budi pekerti mulia.
Menurutnya, seharian pelajar terbabit mengikuti pengajian al-Quran dan agama mereka wajar diberi peluang untuk mendekati komuniti dengan membabitkan diri dalam program kemasyarakatan, belajar bersopan santun dan menghormati mereka yang lebih tua.

Mengagihkan sarapan kepada warga emas sebelum duduk untuk makan dan minum bersama-sama.
Tambahnya, program yang dianjurkan oleh kumpulan muslimah itu mampu memupuk nilai murni, serta beradaban perlu ada pada seseorang khusus generasi muda terutama mereka yang memiliki didikan agama kerana akan menjadi contoh dan teladan baik.
“Jika tidak bertindih dengan kegiatan di maahad tahfiz saya akan terus membawa pelajar untuk mengikuti program kemasyarakatan sedemikian termasuklah seperti mengunjungi rumah anak yatim, keluarga miskin, asnaf disamping membantu dalam kerja gotong-royong di masjid atau surau.
“Langkah ini juga sebagai menghormati serta menyokong program amal kebajikan komuniti yang dianjurkan jawatankuasa masjid termasuk membabitkan kumpulan muslimah,” ujarnya pada majlis perasmian program berkenaan di PJNH.
Turut hadir pada majlis itu, ketua kumpulan muslimah berkenaan, Hayati Yusuf; Setiausaha Masjid Rinching Hulu, Fadzil Mohd Abdullah; Pengerusi PJNH, Mohiadin Bahado; Bendahari Masjid Rinching Hulu, Rohana Sulaiman; Penolong Bendahari Pertubuhan Sukarelawan Kasih (PSK), Hasiatun Abdullah; ahli kumpulan muslimah; dan PSK.
Pada program itu, kumpulan muslimah dan PSK turut menghulurkan sumbangan barangan keperluan asas dan wang sebelum berganding bahu bersama-sama pelajar maahad tahfiz terbabit menyantuni warga emas dengan mengagihkan sarapan dan makan tengah hari, membersih bilik penghuni, kemudahan serta memotong rumput di luar pagar PJNH.
Berucap pada majlis itu, Hayati berkata, kumpulan muslimah berkenaan menzahirkan rasa terharu dan bangga dengan sikap bertanggungjawab dan amanah petugas PJNH selain dibantu sukarelawan menyantuni warga emas tanpa berasa jemu.
Jelasnya, kehadiran mereka ke pusat itu dengan mengadakan program amal kebajikan diharapkan dapat mengembirakan hati warga emas terbabit kerana ada antara mereka seperti yang dimaklumkan pihak pengurusan amat merindui ahli keluarga.
“Dengan membawa bersama-sama pelajar maahad tahfiz ini yang rata-rata masih remaja sekurang-kurang dapat meredakan kerinduan warga emas terhadap anak atau cucu mereka selepas sekian lama berpisah.
“Ia juga memberi pendedahan kepada pelajar tahfiz ini mengenai keperluan memelihara hubungan baik dengan ibu bapa sehingga mereka tua dan pergi mengadap Ilahi selain dapat menabur bakti kepada warga emas di pusat berkenaan,” katanya.-SAHIH.