Peduli Radio Platform Pertama NGO Kebajikan Dalam Talian di Malaysia
Peduli Radio Platform Pertama NGO Kebajikan Dalam Talian di Malaysia
PUTRAJAYA – Usaha terkini dan pertama seumpamanya di negara ini menyaksikan penubuhan sebuah platform khusus bagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkongsi serta menyampaikan pelbagai maklumat berkaitan industri kebajikan kepada masyarakat secara lebih tersusun dan meluas.
Inisiatif berkenaan diwujudkan berikutan ketiadaan saluran khusus sebelum ini yang mampu menyebarkan maklumat berkaitan keperluan, peranan dan pelaksanaan kerja-kerja kebajikan secara berkesan kepada orang ramai.
Kewujudan platform itu bukan sahaja memberi pendedahan lebih tepat, cermat dan berdaya guna, malah mempercepatkan penyebaran maklumat di samping membantu menjimatkan masa, tenaga serta kos bagi mencapai hasil yang lebih optimum.
Seiring dengan matlamat tersebut, satu kumpulan pejuang kebajikan melancarkan radio dalam talian kebajikan pertama di Malaysia yang dikenali sebagai Peduli Radio.
Stesen radio itu telah dirasmikan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, baru-baru ini.
Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Pengerusi INSAF Malaysia, Ishak Abdul Kadir, serta penerima Anugerah Tokoh NGO Belia (Kepimpinan Rumah Kebajikan) yang juga Penolong Setiausaha Pertubuhan Gabungan Rumah Kebajikan Perpaduan Negeri Selangor (PAKAR), Muhammad Syafiq Mohiadin.
Muhammad Syafiq yang turut dilantik sebagai penyampai radio Peduli Radio berkata, stesen radio beroperasi 24 jam itu akan menjadi medium utama menyampaikan maklumat terkini mengenai peranan NGO termasuk lokasi serta saluran sumbangan kepada masyarakat.
Menurutnya, Peduli Radio juga berfungsi sebagai platform mewakili NGO tempatan dan antarabangsa dalam menyampaikan maklumat berkaitan bantuan, sokongan serta usaha kebajikan agar sumbangan yang disalurkan menepati sasaran.
“Peduli Radio membawa naratif kebajikan kepada masyarakat dan menjadi hab pengumpulan kisah perjuangan NGO, misi kesukarelawanan serta inspirasi kepada pendengar,” katanya.
Tambahnya, stesen itu turut memberi ruang kepada pemimpin, aktivis masyarakat, sukarelawan dan ahli NGO untuk bersiaran secara langsung bagi membincangkan isu komuniti secara terbuka, namun tetap mematuhi garis panduan bagi mengelakkan kandungan sensitif.
Peduli Radio turut menampilkan segmen khas bertajuk “Bersama Yang Berkhidmat Syafiq Mohiadin (YBSM)”, berbentuk ‘live radio podcast’ yang menjemput tetamu daripada pelbagai NGO bagi berkongsi pengalaman, cabaran serta inspirasi kerja kebajikan.
Orang ramai boleh mengikuti siaran Peduli Radio menerusi laman sesawang www.peduliradio.com serta platform media sosial rasmi stesen berkenaan. – SAHIH.
