Pahang kutip hasil lebih satu bilion berturut-turut
Pahang kutip hasil lebih satu bilion berturut-turut
LIPIS : Kerajaan Pahang berjaya memungut hasil kerajaan melebihi RM 1 bilion buat kali kedua berturut-turut tahun ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengumumkan kutipan sebanyak RM 1.018 bilion berjaya diperolehi tahun ini buat kali kedua.
Katanya, kutipan hasil tahun lalu (2022 ) berjaya dikutip sebanyak RM1.037 bilion melebihi sasaran yang ditetapkan sebelum Bajet Pahang 2022 iaitu RM1.036 bilion.
“Alhamdulillah, kutipan hasil kerajaan negeri Pahang pada hari ini telah mencecah RM1.018 bilion.
“Saya ucapkan kepada semua pihak terutamanya kepada Setiausaha Kerajaan Pahang, Pengarah Tanah dan Galian Negeri Pahang dan semua pegawai daerah serta agensi negeri dan Persekutuan yang berusaha dengan sepenuhnya bagi mencapai kutipan ini terutamanya menerusi Karnival Tanah Pahang 2023”.
Beliau berkata demikian di Majlis Penutupan Karnival Tanah Pahang 2023 yang diadakan di Dewan Jubli Sultan Haji Ahmad Shah, dekat sini, hari ini.
Katanya, kejayaan ini merupakan tahun kedua berturut-turut negeri Pahang memperoleh kutipan melebihi RM1 bilion.
“Semoga Negeri Pahang terus kekal stabil dan makmur demi kesejahteraan dan keharmonian bersama dengan sokongan penuh rakyat negeri ini.
“Pencapaian ini dianggap pencapaian yang membanggakan negeri ini kerana buat kali kedua berjaya mencapai kutipan hasil melebihi RM1 bilion,” katanya.
Wan Rosdy berkata, pencapaian itu sekali gus meletakkan Pahang “duduk sama rendah, berdiri sama tinggi” dengan negeri-negeri maju yang lain seperti Johor dan Selangor.
“Statistik ini menggambarkan keyakinan para pelabur, terhadap potensi serta kestabilan yang ada di negeri ini,” katanya. – SAHIH.