PAHANG CATAT RM1 BILION HASIL EMPAT TAHUN BERTURUT-TURUT
JERANTUT – Kerajaan Negeri Pahang terus menunjukkan prestasi kewangan kukuh apabila berjaya mencapai kutipan hasil melebihi RM1 bilion selama empat tahun berturut-turut.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri optimis mencapai sasaran Belanjawan 2025 dengan kutipan hasil sebanyak RM1.194 bilion.
Menurut beliau, sumbangan pelbagai agensi termasuk Pejabat Pengurusan Integratif dan Perumahan turut memperkukuh hasil negeri.
“Saya dimaklumkan bahawa Ketua Pengurusan Integratif dan Perumahan menyerahkan cek lebih RM4 juta kepada kerajaan negeri berkaitan urusan perumahan. Ini membantu meningkatkan lagi jumlah kutipan hasil,” katanya.
Beliau turut mendedahkan bahawa setakat ini, sebahagian besar sasaran tahunan telah berjaya dikutip walaupun baru memasuki bulan awal tahun.
Wan Rosdy juga menyentuh mengenai penghargaan kerajaan negeri kepada bekas penjawat awam. Bagaimanapun katanya, jumlah penjawat awam sangat yang besar, menyukarkan kerajaan untuk memberikan sumbangan penuh kepada semua.
“Saya telah meminta Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri membuat simulasi pemberian token (saguhati) kepada mereka yang berpendapatan RM3,000 hingga RM4,000. Sama ada RM100, RM200 atau RM300, kita akan pertimbangkan kemampuan kerajaan,” katanya.
”Namun, kerajaan negeri komited memberi tanda penghargaan kepada penjawat awam serta masyarakat yang sentiasa menyokong pentadbiran negeri,” katanya.-SAHIH.
