ORANG RAMAI DATANG JANGAN PIJAK LUMUT
Orang ramai datang jangan pijak lumut
KUANTAN – Individu yang dikesan memijak-mijak lumut ketika berada dalam hutan mossy di negara ini sebenarnya boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi amaun 50 ribu ringgit.
Malah, si pelaku kegiatan vandalisme tersebut sekiranya disabitkan kesalahan di mahkamah juga boleh dihukum penjara tidak lebih daripada lima tahun atau pun kedua-duanya sekali.
Demikian peringatan tegas Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia menerusi hantaran dalam laman sosial rasminya yang dikongsi daripada Jabatan Perhutanan Negeri Pahang.
Menurutnya, perbuatan vandalisme terhadap hutan mossy merupakan kesalahan di bawah Seksyen 87, 81 kurungan “b” dan 81 kurungan “c” Akta Perhutanan Negara 1984.
Meskipun agensi tersebut tidak menyatakan secara spesifik kepada mana-mana kes, namun dipercayai merujuk Hutan Mossy Gunung Brinchang, Daerah Cameron Highlands di negeri itu.
Hutan berkeluasan 914 hektar berkenaan menjadi tumpuan ramai penggemar alam kerana ia satu-satunya titik paling tinggi di Semenanjung yang boleh diakses mudah dengan kenderaan.
Mengulas lanjut, jabatan tersebut turut menyenaraikan empat lagi kelakuan merosakkan alam dalam hutan berkenaan yang boleh ditangkap jika ada dikesan oleh anggota penguatkuasaan.
Ia meliputi tindakan tidak bertanggungjawab memanjat struktur menara pandang, berjalan melepasi laluan yang dibenarkan, mematahkan pagar ‘boardwalk’ dan tumbuhan.
Hutan ‘mossy’ turut dikenali sebagai hutan awan kerana pengunjung dapat menyaksikan pergerakan awan bergerak laju di celah pokok ketika ditiup angin seolah-olah ada kabus tebal.
Terdapat sejumlah 736 hutan mossy melibatkan 59 negara atau satu peratus hutan tersebut di seluruh dunia.
Malaysia sahaja memiliki sebanyak 54 tapak hutan jenis berkenaan.-SAHIH