NGO santuni penduduk PPR sekitar Lembah Klang
Foto :
NGO santuni penduduk PPR sekitar Lembah KlangMimi Liana Nasharuddin dan Mohd Nazri Abdul Latif (enam dari kanan) bersama-sama Ahli Bekind Malaysia dan PSK melakukan penyerahan sumbangan kepada PJMM.
PROGRAM Eco Free Market (EFM) menjadi medan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Bekind Malaysia menyantuni dan meringankan bebanan kos hidup penduduk yang menetap di program perumahan rakyat (PPR) sekitar Lembah Klang sejak tiga tahun lalu.
Menerusi program yang menepati konsep inklusif di bawah Malaysia Madani itu juga NGO berkenaan turut membela nasib gelandangan, keluarga miskin, asnaf, anak yatim, pusat tahfiz dan pusat jagaan warga emas selain mereka yang ditimpa musibah supaya dapat meneruskan kehidupan.
Pengerusinya, Mimi Liana Nasharuddin, berkata program itu adalah platform digunakan oleh NGO berkenaan untuk mendapatkan pelbagai barangan termasuk keperluan asas harian yang akan diagihkan kepada penduduk yang memerlukan.
Ahli Bekind Malaysia, Pertubuhan Sukarelawan Kasih dan warga emas merakamkan kenangan bersama-sama tetamu jemputan yang hadir pada Program Sarapan Santai Bersama Warga PJMM, Semenyih, Selangor.
Menurutnya, apabila program itu hendak diadakan di satu-satu lokasi, BeKind akan meneliti secara terperinci keperluan yang diperlukan oleh penduduk atau komuniti terbabit sebelum menguar-uarkan menerusi media sosial bagi mencari dan mengumpul sumbangan daripada pelbagai pihak.
Tambahnya, selain mereka menghantar ke tempat EFM, lokasi yang bakal dikunjungi seperti PPR akan digunakan untuk menjadi medan pengumpulan barangan sumbangan, manakala penduduk atau komuniti di situ akan dimaklumkan untuk datang mengambil barangan yang mereka perlukan.
Jelasnya, menjadi kebiasaan dan mematuhi peraturan PPR terbabit lokasi atau tempat menjadi pengumpulan barangan sumbangan orang ramai itu terlebih dipersetujui dan mendapat kebenaran daripada pihak berkenaan bagi memastikan program EFM berjalan lancar.
“Penduduk atau komuniti PPR ini akan turun pada masa ditetapkan bagi mengambil keperluan untuk keluarga mereka seperti barangan dapur, pakaian terpakai, pinggan mangkuk dan sebagainya secara percuma.
“Bagi sesetengah program pula kami akan menyertai aktiviti yang dianjurkan oleh NGO lain di satu-satu tempat apabila dimaklumkan dengan menyumbangkan barangan yang diinfak orang ramai untuk diagihkan,” katanya ketika ditemui pada Program Sarapan Santai Bersama Warga Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor, yang dianjurkan oleh Pertubuhan Sukarelawan Kasih (PSK) baru-baru ini.
Pada program berkenaan, selain PSK menghulurkan sumbangan wang derma, Bekind Malaysia turut mengagihkan barangan keperluan asas seperti minyak masak, sabun pencuci, beras, gula, kicap dan sebagainya kepada PJMM.
Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi PJMM, Azman Rasman; Setiausaha dan Pengurus PJMM, Muhammad Syafiq serta Sazali Mohiden; Pengerusi PSK, Mohd Nazri Abdul Latif; Ahli Pertubuhan Seni Silat Gayung Patani Malaysia, Putrajaya; Ahli Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Seksyen 6, Rinching, Selangor; dan Ahli Kelab Sukarelawan Mahmudah (KESUMA’24).
Program yang bermula jam 8.30 pagi itu dimulai dengan acara bersarapan bersama-sama warga emas PJMM, senaman ringan bagi membina kecergasan serta kesihatan, persembahan seni silat gayung Patani dan karaoke.
Mimi Liana berkata, program EFM mendapat sambutan memuaskan yang terpaksa diadakan dua kali sebulan di beberapa lokasi khususnya PPR yang berbeza kerana memberi kemudahan kepada orang ramai untuk membantu mereka yang memerlukan bantuan.
Jelasnya, mereka yang menyumbang itu boleh melihat sendiri bagaimana agihan dibuat oleh ahli Bekind Malaysia kepada penduduk atau komuniti, dan mereka sudah tentu berpuas hati apabila sumbangan berkenaan sampai kepada sasaran yang dihajati.
“Bekind Malaysia akan terus bertanggungjawab melaksanakan kerja amal kebajikan ini dengan amanah demi menyantuni dan membela mereka yang memerlukan sokongan serta bantuan untuk kelangsungan hidup disamping menyempurnakan hajat penyumbang atau penginfak,” ujarnya lagi.
Sementara itu Mohd Nazri berkata, program yang kali kelima diadakan itu adalah bagi merapatkan hubungan silaturahim dan ukhuwah 130 ahli keluarga PSK dengan warga emas dan pengurusan PJMM, di samping menghulurkan sumbangan yang diinfak orang ramai.
Tambahnya, dengan cara itu juga PSK dapat menguar-uarkan kepada masyarakat mengenai kewujudan pusat jagaan berkenaan yang memikul tanggungjawab secara sukarela menjaga warga emas yang memerlukan tempat berlindung selepas disisihkan ahli keluarga dan hidup sebatang kara.
Menurutnya, tanpa program sedemikian masyarakat mungkin tidak ambil peduli khususnya untuk berkongsi rezeki bagi membantu pengurusan pusat jagaan itu yang beroperasi tanpa mengenakan sebarang bayaran dan bergantung sepenuhnya kepada infak atau sumbangan orang ramai termasuk dari segi kewangan.
Jelasnya, pada program berkenaan, PSK menjemput ahli Seni Silat Gayung Patani untuk membuat persembahan pelbagai teknik serta tektikal persilatan gempur bagi menghiburkan hati warga emas sebelum mereka mengikuti acara karaoke.
“Di samping PJMM, sejak penubuhan PSK pada 2017 sudah membabitkan pelbagai program amal kebajikan seperti menziarah rumah anak yatim, pusat tahfiz, keluarga miskin dan asnaf serta pusat jagaan warga emas sekitar Semenyih, Bangi, Kajang dan Serdang.
“PSK amat berharap program amal kebajikan dianjurkan itu menepati juga saranan Malaysia Madani hari ini yang mahukan pelbagai usaha dibuat dalam membantu menzahirkan budaya sihat serta memupuk semangat muhibah dan perpaduan kaum,” ujarnya. – SAHIH.