Mayat pendaki dikhuatiri lemas di Sungai Tanum, Merapoh ditemui
Foto atas : Mayat pendaki dikhuatiri lemas ditemui pada jam 11.20 pagi, hari ini
Mayat pendaki dikhuatiri lemas di Sungai Tanum, Merapoh ditemui
LIPIS : Pendaki yang dikhuatiri lemas di Sungai Tanum, Taman Negara Merapoh ketika turun dari Gunung Tahan berdekatan Kuala Juram, Merapoh ditemui kira-kira 300 meter dari tempat mangsa dipercayai terjatuh, pada jam 11.20 pagi, hari ini.
Mayat mangsa, Haniff Harun berusia 47 tahun yang beralamat di Kampung Paloh Haji Daud, Kuala Terengganu ditemui oleh 30 anggota mencari dan penyelamat (SAR) yang bersambung pada jam 8.00 pagi hari ini.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superitenden Azli Mohd Noor berkata, operasi mencari yang bersambung pada jam 8.00 pagi hari ini dibahagikan kepada 3 kumpulan, kumpulan pertama melakukan pencarian di sekitar sepanjang Sungai Tanum.
“Kumpulan kedua, melakukan operasi pencarian dari Kuala Juram ke hilir sungai, manakala sekumpulan lagi menggunakan bot menyusuri sengai tersebut.
“Mayat mangsa ditemui tersangkut di dalam sungai pada jarak 300 meter dari mangsa dihanyutkan pada jam 11.20 pagi,” katanya melalui kenyataan, hari ini.-SAHIH.