MAYAT LOQMAN DITEMUI HARI KE-12
TEMERLOH: Mayat Loqman Hamka, 20, yang terjatuh ke dalam sungai Pahang, berhampiran Kampung Kuala Kujan,Temerloh ditemui penduduk kampung selepas 12 hari dilaporkan hilang.
Dia ditemui penduduk di tepi sungai Jeti Laman Lesung, Batu Papan, Bera kira-kira 32 kilometer dari lokasi dia dilaporkan terjatuh pada 27 November lalu ketika merawai sangkar ikan patin di sungai tersebut.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman dalam satu kenyataan berkata, kaunter aduan balai Kuala Bera menerima panggilan daripada orang awam yang menjumpai mayat berbaju hitam dan berseluar pendek sedang hanyut di lokasi tersebut, kira-kira jam 8.10 pagi tadi.
Katanya, sebaik menerima panggilan itu, anggota Balai Kuala Bera telah pergi ke tempat kejadian untuk tindakan
selanjutnya.
“Mayat telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) untuk bedah siasat.
“Sesi pengecaman juga dibuat dan ahli keluarga mangsa turut mengesahkannya,” katanya.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat dilakukan setiap hari sejurus Loqman dilaporkan hilang.
Jelasnya, Monsun Timur Laut yang melanda negeri Pantai Timur menyebabkan air Sungai Pahang menjadi dalam selain arus yang deras faktor kesukaran pihak berkuasa mencari dan menyelamat mangsa.
Pada Khamis lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencemar duli berangkat ke lokasi kejadian lemas.
Turut berangkat mengiringi, Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hasanal Ibrahim Alam Shah, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin dan Tengku Panglima Muda Tengku Ahnad Ismail Mu’adzam shah.