Masjid India Muslim Klang kekalkan tradisi agih bubur lambuk sejak lebih 50 tahun
Foto : Masjid India Muslim, Klang
Masjid India Muslim Klang kekalkan tradisi agih bubur lambuk sejak lebih 50 tahun
KLANG – Masjid India Muslim Klang terus mengekalkan tradisi turun temurun mengagih bubur lambuk kepada orang ramai yang dimulakan sejak lebih 50 tahun lalu.

Ketua Pemuda Masjid India Musim Klang, Mohd Taufiq Al Ali Shamsul Ariffin
Ketua Pemuda Masjid India Musim Klang, Mohd Taufiq Alalif Samsul Arifin (29) berkata, agihan bubur lambuk sudah dimulakan sejak lebih 50 tahun lalu hasil daripada sumbangan orang perseorangan, ahli perniagaan sekitar masjid itu serta sumbangan tetap ahli jemaah.
“Setiap petang sepanjang bulan Ramadan, sebanyak empat periuk disediakan dan setiap periuk sebanyak 18 kilogram (kg) beras diperlukan dan termasuk bahan-bahan lain seperti kekacang, kismis dan beberapa bahan yang diperlukan untuk penyediaan juadah ini.
“Sebanyak kira-kira 400 bungkus bubur lambuk diagihkan kepada orang ramai yang datang ke masjid ini untuk mendapatkan juadah itu dan kira-kira RM3,000 diperlukan untuk penyediaan juadah ini setiap hari, ” katanya ketika ditemui di masjid itu, hari ini.
Katanya, selain itu bubur lambuk turut diperlukan untuk juadah berbuka puasa kepada kira-kira 300 jemaah.

Sukarelawan bersiap sedia mengagih bubur lambuk. Jamali Mohd Salleh (duduk kanan) yang pernah terlibat dengan memasak bubur lambuk ketika berusia 50 tahun yang lalu.
“Pasukan memasak diketuai oleh seorang ketua tukang masak dan dua pembantu memulakan memasak pada jam 9.00 pagi dan siap pada jam 1.00 tengah hari.
“Kerja-kerja membungkus dilakukan oleh tiga orang sukarelawan dimulakan pada jam 2.00 petang dan diagihkan dimulakan pada jam 4.30 petang,” katanya.
Katanya, pihak masjid mengagihkan kepada orang ramai yang hadir tidak kira bangsa dan agama, di sini, ini menunjukan perpaduan dan keharmonian rakyat Malaysia turut diraikan.
Seorang veteran, Jamali Mohd Salleh (71) yang pernah terlibat dengan memasak bubur lambuk ketika berusia 50 tahun yang lalu.
“Seronok dapat berbakti dalam penyediaan bubur lambuk dan diagihkan kepada orang ramai sebagai satu amal jariah masjid ini.
“Konsep menyediakan bubur lambuk secara gotong royong yang dikendalikan seorang ketua tukang masak turut dibantu oleh pembantu.
Katanya, mula tahun ini, pemuda masjid ini mula mengambil bahagian bermula memasak sehingga mengagih kepada orang ramai.
“Masjid ini selain menyediakan untuk jemaah berbuka puasa, moreh selepas terawih turut disediakan untuk kira-kira 500 orang, sahur juga disediakan oleh pihak masjid,” katanya.
Seorang penduduk Kampung Jawa, Abdul Shukur Nordin (58) berkata, sejak dia masih dibangku sekolah rendah lagi sudah datang mengambil bubur lambuk di masjid itu dan ketika itu masjid itu tidak seperti sekarang.
“Hampir setiap petang saya dan beberapa orang jiran akan mengayuh basikal untuk mengambil bubur lambuk ini.
“Pada ketika itu kami perlu membawa bekas sendiri seperti cerek dan bekas plastik, tetapi sekarang pihak masjid sudah siap membungkus bubur lambuk di dalam bekas plastik,” katanya.
Katanya, yang uniknya, rasa dan aroma bubur lambuk ini tetap sama. -SAHIH.