Main boling di kaki lima sekolah cetus semangat murid SKMR, Segamat
Foto atas : Seorang murid melakukan cubaan balingan bola boling.
Main boling di kaki lima sekolah cetus semangat murid SKMR, Segamat
SEGAMAT – Pemainan boling menjadi inspirasi cetusan membakar semangat bagi murid Tahun Satu hingga Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Melayu Raya (SKMR), Segamat, untuk memburu kecemerlangan dalam kurikulum.
Guru Besarnya, Mohd Ali Hadoon, berkata inspirasi itu yang sudah dilaksanakan sejak sebulan lalu selepas mesyuarat khas dengan guru mendapati sukan boling lebih diminati murid-murid untuk dipelajari selain berasa seronok apabila dapat bersaing dengan rakan.
Menurutnya, bagaimanapun untuk bermain boling khusus pada waktu rehat mereka mesti mencapai kecemerlangan dalam kurikulum bagi satu-satu subjek dan tidak kecuali menunjukkan aktif dalam pembabitan aktiviti kokurikulum.
Jelasnya, sebagai contoh bagi program panitia matematik, murid yang ingin bermain boling perlu menghafal sifir 7 hingga 12 dengan sempurna baru dapat peluang menyentuh boling dan beraksi untuk bersaing dengan rakan dengan diawasi serta dibimbing guru panitia berkenaan.
Beliau berkata, begitulah juga murid yang mencapai TP5 dalam subjek pelajaran yang dipelajari akan diberi peluang guru terbabit untuk bermain boling.
Katanya, semua murid yang cemerlang dan terpilih bermain boling hanya pada waktu rehat sahaja yang mengambil masa antara tiga dan lima minit yang dimainkan di tepi kaki lima dewan dan terbaharu beralih ke kaki lima depan makmal sekolah .
“Inspirasi ini ternyata berjaya memupuk budaya dan memotivasikan murid untuk rajin mentalaah serta mengulang kaji pelajaran selain bersaing dalam kelas dengan rakan untuk menjadi yang terbaik supaya dapat bermain boling.
“Cetusan idea ini juga turut menjadi pendorong kepada mereka untuk rajin hadir ke sekolah setiap hari selain mendapat pujian serta sokongan daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SKMR yang turut menganggap langkah berkenaan menceriakan suasana setiap pagi,” katanya.
Mohd Ali berkata, kejayaan inspirasi itu juga adalah hasil jalinan usaha sama antara SKMR dengan pengusaha pusat boling daerah berkenaan yang diketuai pengurusnya, Roslan Md Isa apabila bersedia membekalkan pin dan bola boling terpakai secara percuma.
Menurutnya, SKMR berasa terhutang budi dan berbangga dengan kesudian Roslan memberi kerjasama sebagai tanda keprihatinan beliau untuk membantu pihak sekolah menyuntik kecemerlangan pendidikan murid di kawasan pedalaman.
Beliau berkata, Unit Kokurikulum SKMR turut mengambil langkah yang sama apabila menetapkan murid mempunyai rekod terbanyak sijil penglibatan dalam aktiviti kokurikulum.
“Usaha yang dilakukan oleh guru terbabit terbukti berjaya memotivasikan murid untuk tekun dalam pelajaran selain bersemangat bersaing dengan rakan serta hadir ke sekolah setiap hari.
“Boling juga menunjukkan sukan yang digemari ramai termasuk dalam kalangan murid sekolah rendah malah mereka berasa teruja apabila dapat bermain secara percuma bersama rakan-rakan selepas belajar dalam kelas,”katanya.