Lelaki disyaki tabur paku di jalan raya di Bandar Jerantut ditahan
Lelaki disyaki tabur paku di jalan raya di Bandar Jerantut ditahan
JERANTUT – Polis mengesahkan menerima laporan dan aduan awam berhubung kejadian seorang lelaki disyaki membuang serta menabur paku di jalan raya sekitar bandar ini, pada 31 Januari lalu.
Susulan laporan itu, polis menjalankan siasatan dan usaha mengesan individu terbabit sebelum menahan seorang lelaki Melayu berusia 48 tahun di kawasan Sungai Badak, di sini.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mohd Azahai Mukhtar berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental.
“Suspek telah dirujuk ke Hospital Jerantut untuk pemeriksaan kesihatan serta mendapatkan rawatan dan tindakan lanjut oleh pihak perubatan.
“Kes masih dalam siasatan dan orang ramai diminta memberi kerjasama sepenuhnya bagi memastikan keselamatan awam terjamin,” katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kegusaran.
“Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan dan tindakan selanjutnya,” katanya.-SAHIH.
