Lelaki dikhuatiri lemas ketika memancing di Lanchang
Lelaki dikhuatiri lemas ketika memancing di Lanchang
TEMERLOH – Seorang lelaki dilaporkan dikhuatiri lemas ketika memancing bersama rakannya di Jambatan Mempatih, Lanchang, dekat sini, pada jam 9.57 malam tadi.
Mangsa dikenali sebagai Muhammad Ikhram, 23, dilaporkan sedang memancing bersama rakannya sebelum terjatuh dari tebing pada jam 9.57 malam tadi.
Kejadian ini berlaku selepas seorang remaja usia 19 tahun lemas di Sungai Pahang berdekatan Kampung Batu Bor, Bera empat hari lalu.
Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihak bomba menerima maklumat daripada polis pada jam 10.56 malam mengenai kejadian tersebut.
“Seramai lapan orang pegawai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mentakab bergegas ke tempat kejadian dengan menaiki dua jentera.
“Anggota pasukan bomba kemudiannya bertindak memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di sekitar tempat kejadian sebelum ditangguhkan dan bersambung pada pagi ini,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Katanya, maklumat awal daripada saksi memberitahu terdengar jeritan meminta tolong daripada mangsa.
“Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Bukit Angin telah dimaklumkan bagi membantu operasi mulai pukul 8 pagi hari ini dan sehingga kini mangsa masih belum ditemui,” katanya. -SAHIH.