Kurang promosi dan fasiliti, laluan Gunung Tahan perlu penambahbaikan
Kurang promosi dan fasiliti, laluan Gunung Tahan perlu penambahbaikan
JERANTUT – Ekspedisi Kajian Kelestarian Trek Gunung Tahan dari Merapoh ke Kuala Tahan yang berlangsung selama tujuh hari berjaya disempurnakan semalam dengan penyertaan 54 peserta daripada 20 agensi kerajaan negeri dan persekutuan.
Anjuran Majlis Rekreasi Pahang (MRP), ekspedisi itu bertujuan menilai tahap kelestarian laluan pendakian Gunung Tahan serta mengenal pasti keperluan menaik taraf kemudahan dan promosi kawasan tersebut sebagai destinasi eko-pelancongan utama negeri dan negara.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri, Fadzli Mohamad Kamal
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri, Fadzli Mohamad Kamal, berkata ekspedisi yang mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menjadi inisiatif penting memperkukuh sektor pelancongan rekreasi negeri.
Beliau berkata, walaupun Gunung Tahan memiliki daya tarikan semula jadi luar biasa, promosi terhadap laluan pendakian itu masih kurang menyerlah, selain kemudahan asas di beberapa lokasi memerlukan perhatian.
“Antara cadangan awal termasuk penambahbaikan tapak perkhemahan, penyediaan papan tanda keselamatan, pembinaan laluan selamat di kawasan curam serta peningkatan liputan telekomunikasi bagi keselamatan pendaki,” katanya.
”Gunung Tahan yang berketinggian 2,187 meter berpotensi besar sebagai ikon eko-pelancongan negeri Pahang, namun usaha meningkatkan promosi dan fasiliti perlu dipergiat bagi menarik lebih ramai pendaki tempatan serta antarabangsa menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Pendakian sejauh 85 kilometer itu turut disertai ADUN Kemayan, Mohd Nizam Damanhuri, bersama wakil jabatan kerajaan dan pasukan keselamatan negeri.-SAHIH