KSN serah empat projek Kampung Angkat MADANI di Batu Balak
Foto : Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar (tengah) menyaksikan penyerahan satu unit alat pembersih hampagas kepada wakil Masjid Kampung Batu Balak, di sini, semalam.
KSN serah empat projek Kampung Angkat MADANI di Batu Balak
JERANTUT – Penduduk Kampung Batu Balak, Kuala Tembeling menerima hadiah istimewa sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68 apabila empat projek infrastruktur utama di bawah inisiatif Kampung Angkat MADANI berjaya disiapkan sepenuhnya dengan kos keseluruhan RM2.5 juta.
Projek tersebut melibatkan naik taraf jalan sepanjang 6.9 kilometer, pembinaan telaga tiub lengkap dengan sistem bekalan air bersih, pembinaan masjid baharu serta pemasangan pagar penghadang pada jambatan Sungai Kenerak.
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, berkata usaha itu membuktikan komitmen kerajaan dalam merapatkan jurang pembangunan bandar dan luar bandar seperti yang digariskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui Belanjawan 2024.
“Program Kampung Angkat MADANI memberi tumpuan kepada keperluan asas rakyat seperti air bersih, jalan raya, elektrik, lampu jalan dan fasiliti komuniti. Semua ini adalah denyut nadi rakyat,” katanya ketika berucap di perkarangan Masjid Baharu Kampung Batu Balak, semalam.
Beliau berkata, sebelum ini penduduk bergantung kepada air terjun Bukit Batu Garam yang disalurkan menggunakan paip buluh sepanjang 28 kilometer secara gotong-royong, namun kini telaga tiub moden memberi jaminan bekalan harian.
Program ini turut diperluaskan kepada 200 kampung di seluruh negara pada 2025 dengan peruntukan RM200 juta, selepas kejayaan fasa pertama tahun lalu melibatkan 43 kampung dengan kos RM107 juta.
Pengerusi JPKK Batu Balak, Johari Umar, menyifatkan projek itu membawa manfaat meluas termasuk kepada penduduk di sepanjang Sungai Tembeling, FELDA, FELCRA serta Kuala Tahan. Malah, jalan baharu memendekkan perjalanan ke Kuala Lipis daripada dua jam setengah kepada hanya sejam.-SAHIH.