KRT Sungai Buaya gotong royong buat biskut raya
Foto : Ahli Jiran Wanita bersama biskut raya yang dapat disiapkan dalam program itu.
KRT Sungai Buaya gotong royong buat biskut raya
Program Gotong-Royong Buat Biskut Raya yang dianjurkan oleh Kejiranan Rukun Tetangga (KRT) Zon Bandar Sungai Buaya, Hulu Selangor melalui Jiran Wanita mencerminkan semangat “Muafakat membawa berkat” seperti yang terkandung dalam peribahasa Melayu.
Program yang pertama kali diadakan ini berjaya menarik penyertaan 25 peserta dari lapan cawangan KRT di kawasan tersebut.
Walaupun perancangannya agak singkat, program ini tetap berjaya dilaksanakan dengan sokongan padu dari Pegawai Perpaduan Daerah Hulu Selangor, Nor Faizah Kamaruddin, dan komitmen daripada semua pihak terlibat.

Ahli Jiran Wanita bergotong-royong sambil belajar membuat biskut raya.
Program yang berlangsung di Pusat Komuniti KRT Kasturisari Presint 14 ini juga menjadi platform untuk memperkukuhkan kerjasama antara Jiran Wanita dari pelbagai cawangan KRT, termasuk Mawarsari, Kasturisari, Kembojasari, Melursari, Melatisari 2, Melatisari 3, Kantan Cempaka, dan Persiaran Bakawali.
Selain mengeratkan hubungan komuniti, program ini bertujuan untuk memberi peluang kepada Jiran Wanita agar lebih berdikari dalam penyediaan biskut raya.
Di samping itu, ia juga membuka ruang kepada mereka untuk menjana pendapatan dan berpotensi menjadi usahawan berjaya. Kos bahan dan peralatan memasak dikongsi bersama antara peserta, dan biskut yang telah siap dimasak diagihkan kepada semua yang hadir.
Pada majlis penutup program, Nor Faizah menyampaikan ucapan tahniah kepada KRT Zon Bandar Sungai Buaya atas kejayaan menganjurkan program ini yang melibatkan lapan cawangan KRT.
Beliau juga berharap aktiviti seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang, dengan lebih ramai peserta, termasuk golongan muda.
Selain itu, beliau turut menghargai KRT Kasturisari sebagai tuan rumah kerana menyediakan tempat yang selesa untuk aktiviti tersebut, yang turut menyemarakkan semangat perpaduan dan muhibah antara kaum.
Program ini bukan hanya berfokus pada keperluan sosial, tetapi juga pada pembangunan ekonomi komuniti setempat, mengukuhkan rasa kekitaan dan meningkatkan semangat kerjasama dalam kalangan penduduk setempat.-SAHIH.