KRT Suadamai BTHO Santuni Warga Emas, Kutip RM6,000 Bantu Pusat Jagaan Mahmudah
KRT Suadamai BTHO Santuni Warga Emas, Kutip RM6,000 Bantu Pusat Jagaan Mahmudah
CHERAS – Peranan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) kini semakin meluas apabila bukan sahaja menumpukan aspek keselamatan komuniti, malah turut menjadi pemangkin kepada usaha kebajikan dan kesejahteraan sosial.
Inisiatif berkenaan jelas dizahirkan oleh KRT Suadamai Bandar Tun Hussein Onn (BTHO), Cheras, Selangor, menerusi penganjuran Program Amal Menyantuni Penghuni Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM) di Semenyih.
Menerusi program itu, KRT Suadamai BTHO menggerakkan kempen infak derma melibatkan sumbangan kewangan serta barangan keperluan asas harian bagi membantu operasi pusat jagaan warga emas yang diuruskan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia.
Naib Pengerusi KRT Suadamai BTHO, Datuk Che Muhamad Nordin Ismail berkata, walaupun PJMM berada di luar kawasan pentadbiran KRT berkenaan, pihaknya terpanggil untuk memikul tanggungjawab sosial dengan menggembleng sokongan komuniti demi meringankan bebanan pusat jagaan tersebut.
Menurutnya, PJMM tidak menerima bantuan bulanan tetap dan bergantung sepenuhnya kepada sumbangan masyarakat, selain bantuan tahunan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang hanya mencukupi untuk tempoh singkat.
“Hasil kempen yang disebarkan melalui media sosial dan kumpulan WhatsApp komuniti, sambutan amat menggalakkan apabila sebanyak RM6,000 berjaya dikumpulkan dalam tempoh kurang seminggu,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Biro Warga Emas KRT Suadamai BTHO, Ruznan Shamsudin berkata, lawatan tersebut membuka mata ahli KRT terhadap realiti kehidupan warga emas yang uzur dan terpinggir.
Beliau menegaskan, KRT akan meneruskan program kebajikan seumpama itu pada masa hadapan bagi membantu golongan memerlukan tanpa mengira sempadan kawasan.-SAHIH.
