KPKT usaha majukan fasiliti di Pahang
Foto atas : Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff diberi taklimat oleh pihak KPKT.
KPKT usaha majukan fasiliti di Pahang
PEKAN – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berusaha memajukan perumahan, kemudahan dan fasiliti di Pahang.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, Kerajaan Pahang menyambut baik usaha itu dan perlu diteruskan bagi memastikan kelengkapan kemudahan seperti stesen bas dan perumahan yang selesa dapat dibina di negeri ini termasuklah di Daerah Pekan.
“Kerajaan Negeri berterima kasihlah kepada KPKT dan kakitangan yang telah bersama-sama hadir pada hari ini untuk mencari penyelesaian atau pun untuk memulakan langkah-langkah bagi memastikan projek yang dilaksanakan oleh KPKT ini dapat berjalan dengan baik.
“Bagi Kerajaan Negeri pula kita akan membantu sehabis baik untuk memastikan segala-galanya berjalan lancar termasuklah pembinaan projek Pekan Sentral ini dan juga Projek Perumahan Rakyat (PPR) Paya Genuk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan Lawatan Kerja Ke Tapak Projek Perumahan Rakyat (PPR) Paya Genuk dan Tapak Pembinaan Sentral Pekan di Pekan, semalam.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohammad Fakhruddin berkata, menerusi pembinaan Sentral Pekan dan pembinaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kampung Paya Genuk di daerah itu akan dapat menggalakkan perkembangan pembangunan lain di kawasan sekitar.
“Pembinaan Sentral Pekan ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan lain, sebagai contoh di belakang ini ada projek-projek swasta untuk membangunkan perumahan.
“Begitu juga apa yang berlaku di Projek PPR di Paya Genuk, kita jangkakan dengan terbinanya lebih kurang 200 unit rumah di Paya Genuk ini akan menjadi pemangkin baru dan dapat memenuhi keperluan perumahan yang kita jangkakan di Pekan ini apabila sebanyak 3,000 penduduk yang mendaftar memerlukan rumah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Setiausaha KPKT, Datuk M. Noor Azman Taib berkata, pihaknya menjangkakan Pekan Sentral menjadi katalis kepada pembangunan di sekitar kawasan itu.
“Projek Pembinaan PPR Paya Genuk di Pekan membabitkan sebanyak 200 unit rumah dengan kos keseluruhan RM50 juta dan dijangka dapat memulakan pembinaannya pada penghujung tahun ini. – SAHIH.