KPDN lantik peruncit dan pemborong terpilih daerah bekal makanan hadapi MTL
Foto : Amizar (tengah) melancarkan jualan barangan Rahmah Madani di Pekan Sehari Dong, Raub. Turut hadir, Exco Komunikasi Dan Multimedia, Belia, Sukan Dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fazli Mohamad Kamal (kiri sekali) dan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui (kanan sekali).
KPDN lantik peruncit dan pemborong terpilih daerah bekal makanan hadapi MTL
RAUB : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melantik sebanyak 1,369 Peruncit Terpilih Daerah (Dedicated District Retailer – DDR) dan 635 Pemborong Terpilih Daerah (Dedicated District Wholeseller DDW) di seluruh negara.
DDR dan DDW berperanan untuk menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) dengan membekalkan barang makanan yang mencukupi.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, jawatankuasa peringkat Kementerian, Negeri dan Cawangan telah diarahkan mengambil langkah serius berhubung kenyataan dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) berkenaan jangkaan taburan hujan mulai November dan dijangka tamat pada Mac 2025.
“Negeri Pahang sahaja terdapat 210 DDR dan 97 DDW telah dilantik, oleh itu Pejabat KPDN Negeri dan Cawangan di seluruh negara mengambil langkah proaktif bagi persediaan dalam menghadapi bencana banjir tahun ini dan keperluan asas agar tidak terputus dan sentiasa mencukupi di pasaran.
“Kementerian juga telah mengaktifkan Pusat Kawalan Operasi Bencana melalui Pusat Arahan Pengkuatkuasaan (Enforcement Command Centre ) di negeri-negeri yang dijangka terlibat bencana banjir,” katanya di di Program Jualan Rahmah Madani Daerah Raub yang diadakan di Tapak Pekan Sehari Dong, dekat sini, semalam.
Katanya, setiap negeri dan cawangan terbabit perlu mengemukakan senarai premis DDR dan DDW untuk dilantik.
“Selain itu, turut mengiatkan pemeriksaan dan pemantauan secara terus ke atas semua rantaian pengedaran barangan makanan di semua peringkat pengilang, pemborong dan peruncit.
“Kementerian turut membenarkan penambahan had simpanan barang kawalan dan keperluan asas sehingga 30 peratus kepada pemborong dan peruncit terpilih di kawasan- kawasan berisiko banjir,” katanya. -SAHIH.