KKR mohon LLM kerap selaras lebih cekap di lorong kutipan tol
KKR mohon LLM kerap selaras lebih cekap di lorong kutipan tol
LIPIS : Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memohon agar syarikat pengendali lebuh raya untuk membuat pelarasan lebih kerap di lorong-lorong RFID agar kecekapan di laluan dan lorong tol dapat dipertingkatkan.
KKR juga memerlukan kerjasama daripada semua pihak kerana mengikut rekod salah satu punca kesesakan di plaza tol adalah kerana ada pengguna yang tidak mempunyai baki mencukupi semasa melalui plaza tol.
Timbalan Menteri KKR, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, pihak KKR sentiasa menambahbaik semua sistem kutipan tol dari masa ke semasa kerana sekarang peningkatan bilangan kenderaan yang banyak dan memerlukan sistem kutipan tol yang lebih efisyen.
“Selaras dengan hasrat Kerajaan bagi melaksanakan sistem kutipan tol secara Multi Lane Fast Flow (MLFF) pada tahun 2025, pihak Kerajaan sedang memperhalusi kaedah pelaksanaan sistem MLFF ini bagi memberikan keselesaan yang terbaik kepada pengguna lebuh raya.
“Penggunaan akan diperluas kepada debit kad dan kredit kad dan seterusnya melancarkan pergerakan pengguna lebuh raya,” katanya.
Katanya, mod pilihan pembayaran kepada pengguna akan dipelbagaikan dan tidak terhad kepada satu skim penyedia pembayaran yang dimonopoli oleh Touch N Go sahaja seperti sekarang.
“Ini secara tidak langsung akan membantu pengguna mengatasi isu kekurangan baki sewaktu melalui plaza tol kerana sekiranya berlaku kekurangan baki akan merencatkan kelancaran kutipan tol terutama di waktu puncak di musim cuti perayaan.
“Pengguna lebuh raya disarankan supaya pengguna lebuh raya lebih peka dan bersedia untuk menyemak baki e-Wallet sebelum memulakan perjalanan bagi memastikan tiada gangguan semasa melakukan transaksi bayaran tol, ” katanya.-SAHIH.