Kilang buang pekerja tempatan, ambil buruh asing diserbu
Foto : Antara pekerja asing yang ditahan tidak memiliki dokumen sah
Kilang buang pekerja tempatan, ambil buruh asing diserbu
LIPIS – Sebuah kilang di Kecau Tui, di sini, diserbu selepas didapati menggaji pekerja asing tetapi pada masa sama memberhentikan 82 penduduk tempatan tanpa melunaskan bayaran pampasan.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, berkata laporan awal mendapati kilang terbabit juga gagal membuat caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Perkeso bagi pekerja tempatan yang diberhentikan.
Menurutnya, susulan aduan yang diterima, beliau sendiri mengetuai serbuan bersama agensi berkaitan kira-kira jam 10 pagi, pada Rabu.
“Ketika serbuan, kilang beroperasi seperti biasa menggunakan khidmat buruh asing. Hasil siasatan mendapati seramai 82 pekerja tempatan diberhentikan walaupun mereka telah berkhidmat sejak beberapa tahun lalu.
“Majikan sebelum ini berjanji membayar pampasan secara ansuran, namun perkara itu jelas menindas hak pekerja tempatan. Lebih mengecewakan apabila pekerja asing pula diambil bekerja menggantikan mereka,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Tambah beliau, dalam serbuan itu, empat warga asing berusia lingkungan 20-an hingga 30-an dari Myanmar dan Bangladesh ditahan kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri serta permit kerja sah.
“Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana majikan yang melanggar undang-undang serta menafikan hak dan kebajikan pekerja tempatan. Siasatan menyeluruh sedang dilakukan dan tindakan tegas akan diambil terhadap pemilik kilang terbabit,” tegasnya. -SAHIH.