KESUMA Kembara motosikal 150 promosi TVET
Foto : Abdul Rahman menerima penerangan daripada pelajar Kolej Vokasional Sultan Haji Ahmad Shah (KVSHAS) Lipis, dekat sini, semalam.
KESUMA Kembara motosikal 150 promosi TVET
LIPIS – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) mengadakan Program kembara bermotosikal melibatkan 150 penunggang sempena Karnival Jelajah Madani Jom Masuk TVET Zon Timur 2024 melibatkan lapan lokasi utama agensi TVET untuk mempromosikan penjenamaan Kolej Universiti Institut Latihan Perindustrian (ILP).
Program itu yang diketuai oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, program ini merupakan inisiatif Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan agensi TVET dalam mempromosikan pendidikan dan latihan kemahiran (TVET) kepada masyarakat.
Katanya, promosi itu sebagai makluman kepada umum bahawa 100 peratus kemasukan penuntut ke Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) dan seramai 92 peratus mendapat pekerjaan setelah tamat belajar manakala baki lapan peratus tiada data diperoleh.
“Kejayaan kebolehpasaran penuntut dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di seluruh negara dilihat cemerlang mencapai 92 peratus.
“Daripada jumlah itu, 82 peratus bekerja dalam bidang yang mereka pelajari, contohnya jika penuntut belajar dalam bidang IT (teknologi maklumat) maka dia bekerja pun dalam bidang IT,” katanya sempena Kembara Jelajah TVET Madani 2024 di Kolej Vokasional Sultan Haji Ahmad Shah (KVSHAS) Lipis, dekat sini, semalam.
Katanya, sekarang di ILP diusahakan untuk menambah bidang yang dinamakan program premium yang bermaksud lebih ‘hi-tech’, seperti ada kursus ada oil and gas di Pengerang (Johor), manakala di Melaka ada bidang automotif selain bekerjasama dengan Intel.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Lipis berharap agar ILP dan ADTEC mendapat penjenamaan semula sebagai kolej universiti supaya ia kekal relevan dengan tuntutan semasa pasaran kerja.
“Kalau dapat kita jadikan ILP sebagai Kolej Universiti Institut Latihan Perindustrian sebagai penjenamaan baharu.
“Kalau penjenamaan semula ini berjaya, bermakna ada 32 institusi lagi yang mampu menjadikan kita lebih cemerlang di masa depan dan boleh menarik minat lebih ramai anak-anak muda terlibat dalam bidang tertentu,”katanya.
Katanya, selain itu, permohonan kemasukan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke dalam bidang TVET dilihat meningkat berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Peningkatan ini adalah hasil daripada promosi berterusan yang kita lakukan, pelajar-pelajar ini juga melihat peluang yang mereka dapati apabila menceburi TVET adalah lebih tinggi.
“Selain itu penglibatan pelajar dari pelbagai kaum seperti Cina, India, Kadazan , Bidayuh dan lain-lain ke dalam bidang TVET juga dilihat cukup memberangsangkan mencecah 25 peratus,”katanya.
Program Kembara Jelajah TVET Madani 2024 ini disertai 150 penunggang motosikal melibatkan lapan lokasi utama agensi TVET bermula di Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) Shah Alam, GiatMARA Raub, KVSHAS Lipis, Adtec Jerantut, Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Temerloh, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) Kuantan, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kemasik dan berakhir ILP Kuala Terengganu bermula pada 22 Julai hingga 25 Julai.-SAHIH.