Kerusi BERSATU ibarat ‘telur di hujung tanduk’ di Pahang
Kerusi BERSATU ibarat ‘telur di hujung tanduk’ di Pahang
Kekecohan yang tercetus pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu baru-baru ini memberikan gambaran jelas mengenai masa depan parti itu, khususnya menjelang PRU ke-16.
Medan perhimpunan yang sepatutnya menjadi ruang memantapkan organisasi dan merangka halatuju, bertukar menjadi gelanggang mempertajamkan persengketaan.
Laungan “Turun Tan Sri” bersilih ganti dengan “Hidup Tan Sri” di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam semalam, mendedahkan keretakan hubungan antara Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalannya, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Pertembungan ini bukan sekadar menggugat parti di peringkat pusat, malah turut memberi tempias ke negeri-negeri, termasuk Pahang.
Di Pahang, Bersatu hanya bertahan dengan dua kerusi Parlimen (Indera Mahkota dan Rompin) serta dua kerusi DUN (Kuala Sentul dan Lepar). Kedua-dua kerusi DUN itu pula merupakan kerusi marginal dengan majoriti tipis.
Pada PRU-15, Mohd Yazid Mohd Yunus menewaskan calon BN di Lepar dengan majoriti 419 undi, manakala Jasri Jamaludin di Kuala Sentul menang hanya dengan majoriti 241 undi.
Hakikatnya, kedua-dua kawasan ini adalah kubu kuat BN sejak sekian lama. Lebih memburukkan keadaan, prestasi wakil rakyat Bersatu semakin dipersoalkan.
Ramai pengundi mendakwa mereka jarang turun padang, tidak hadir ke majlis masyarakat, bahkan hilang ketika rakyat ditimpa musibah. Kesannya, pengundi mula menzahirkan rasa kesal kerana memilih Bersatu pada PRU lalu.
Jika dibandingkan dengan mantan wakil rakyat BN seperti Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin (Kuala Sentul) dan Datuk Abdul Rahim Muda (Lepar) yang bukan sahaja kerap bersama rakyat tetapi juga pernah memegang jawatan Exco Kerajaan Negeri, perbandingan itu jelas ketara.
Realitinya, Bersatu bukanlah sandaran harapan rakyat Pahang. PRU ke-16 nanti mungkin menjadi “batu nesan” buat parti itu di negeri ini.
Kerusi DUN Lepar dan Kuala Sentul perlu dikembalikan kepada BN yang terbukti mempunyai rekod khidmat lebih cemerlang.
Pengundi wajar menjadikan pengalaman lalu sebagai pengajaran. Nilai prestasi, bukan persepsi. Ikut hati mati, ikut rasa binasa, ikut nafsu lesu. Ikut Bersatu — mati kutu. -SAHIH.
