Kerajaan Perkukuh Kesiapsiagaan Negara, PPBK Pertama Dibina di Jerantut
Foto : Helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia turut mengadakan demostrasi penyelamatan di udara.
Kerajaan Perkukuh Kesiapsiagaan Negara, PPBK Pertama Dibina di Jerantut
Langkah Strategik Hadapi Monsun Timur Laut 2025/2026
JERANTUT – Kerajaan Persekutuan akan membina Pusat Pemindahan Bencana Kekal (PPBK) pertama negara di Jerantut, Pahang, sebagai langkah strategik memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026 dan bencana iklim yang semakin ekstrem.

Antara anggota terlibat dalam demostrasi di Padang Persatuan Bola Sepak Jerantut, hari ini
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, berkata projek berimpak tinggi itu mencerminkan komitmen jangka panjang Kerajaan MADANI membina daya tahan komuniti serta memperkukuh sistem pengurusan bencana negara.
Katanya, peruntukan RM460 juta dalam Belanjawan 2026 bagi pengurusan bencana membuktikan kesungguhan kerajaan melindungi keselamatan rakyat daripada kesan perubahan iklim.
“Malaysia tidak kebal daripada bencana. Gempa bumi lemah di Segamat, banjir dan tanah runtuh di Sabah yang meragut nyawa jelas menunjukkan tahap risiko negara semakin meningkat.
“MET Malaysia menjangkakan MTL bermula awal November hingga Mac 2026, dipengaruhi fenomena La Nina lemah, dengan lima hingga tujuh episod hujan lebat berterusan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) di sini, hari ini.
Antara negeri berisiko tinggi ialah Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah, terutama ketika fenomena air pasang besar.
Menurutnya, PPBK Jerantut akan menjadi model nasional dengan kemudahan lengkap serta sistem perlindungan rakyat lebih mampan untuk dicontohi negeri lain.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula melaporkan pengurangan lokasi panas banjir daripada 4,619 pada 2024 kepada 3,683 tahun ini hasil pelaksanaan projek mitigasi.
Sementara itu, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) merekodkan 110 kejadian tanah runtuh di Pantai Barat Sabah dengan 13 korban jiwa, manakala 34 cerun kritikal kini dilengkapi Sistem Amaran Awal (EWS).
Ahmad Zahid mengarahkan NADMA menyemak semula mekanisme pasca bencana melibatkan agensi kerajaan, NGO, GLC dan komuniti setempat bagi memperkukuh rantaian tindak balas negara.
Beliau menegaskan risiko banjir besar meningkat jika hujan berterusan berlaku serentak dengan air pasang besar, dan MET Malaysia akan mengeluarkan amaran sekurang-kurangnya tiga hari lebih awal bagi membolehkan langkah pencegahan segera diambil. – SAHIH