Kerajaan Pahang tangguh penguatkuasaan di Cameron Highlands
Kerajaan Pahang tangguh penguatkuasaan di Cameron Highlands
CAMERON HIGHLANDS – Kerajaan Pahang digesa menangguhkan penguatkuasaan terhadap ladang yang terletak di kawasan rizab jalan dan sungai di Cameron Highlands.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata, Ho Chi Yang berkata, diharap kerajaan Pahang mengurangkan penguatkuasaan di kawasan ladang yang terletak di kawasan rizab jalan dan sungai.
“Minggu lalu, beberapa petani dari Blue Valley , Cameron Highlands diarahkan oleh Jabatan Tanah dan Galian Pahang mengosongkan sebahagian ladang mereka yang terletak di rizab jalan dan sungai dalam tempoh dua minggu, jika gagal tindakan penguatkuasaan akan dijalankan.
“Semasa lawatan Yang di-Pertuan Agong ke Cameron Highlands, yang turut dihadiri Menteri Besar Pahang, saya telah membangkitkan isu ini kepada Menteri Besar Pahang dan dan menggesa kerajaan negeri supaya bersimpati terhadap kesulitan dan kesusahan petani,” katanya dalam satu kenyataan akhbar, hari ini.
Ho Chi Yang berkata, Datuk Seri Wan Rosdy berjanji untuk mengurangkan tindakan penguatkuasaan di kawasan ladang yang terletak dalam rizab sungai yang perlu dikosongkan, manakala tindakan penguatkuasaan terhadap rizab jalan akan ditangguhkan.
“Sebenarnya, petani di Blue Valley telah mengusahakan tanah mereka selama berpuluh tahun untuk mencari rezeki, ada petani menghadapi beban kewangan yang semakin meningkat akibat pandemik Covid-19 serta peningkatan kos pertanian seperti harga baja dan sewa tanah pertanian.
“Selain itu, kerajaan telah membina Jalan Persekutuan FT185 yang menghubungkan Tanah Tinggi Lojing dan Simpang Pulai dan petani di kawasan Blue Valley bersedia mengosongkan sebahagian daripada ladang mereka tanpa meminta pampasan daripada kerajaan,” katanya.
Katanya, beliau merayu kerajaan mempertimbangkan dan bersimpati terhadap nasib petani untuk mencapai situasi menang-menang.
“Menteri Besar Datuk Sri Wan Rosdy telah memutuskan hanya melaksanakan tindakan penguatkuasaan terhadap ladang-ladang di rizab sungai sebagai persediaan untuk projek menaiktaraf sungai pada masa hadapan.
“Bagi ladang yang terletak di kawasan rizab jalan raya, Datuk MB bersetuju untuk menangguhkan tindakan penguatkuasaan memandangkan petani Cameron Highlands berdepan dengan pelbagai cabaran dan kesukaran ketika ini,” katanya.-SAHIH.