Kerajaan Pahang pacu tanah terbiar, revolusi padi paya di Kampung Budu
Kerajaan Pahang pacu tanah terbiar, revolusi padi paya di Kampung Budu
LIPIS – Kerajaan Negeri Pahang terus memperkukuh agenda keterjaminan makanan dengan memperkasa pembangunan projek padi paya di Kampung Budu melalui penyediaan infrastruktur termasuk jalan ladang dan kemudahan sokongan, bagi memastikan pengeluaran padi lebih cekap, mampan dan berdaya saing.
Inisiatif itu dilaksanakan menerusi Program Lembaran Baru 2026 Padi Kampung Budu “Kampung People”, yang memfokuskan pembangunan sawah padi di kawasan Paya Budu dengan memanfaatkan tanah terbiar kepada aktiviti pertanian bernilai tinggi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benta, Datuk Seri Mohd Soffi Abdul Razak, berkata program berkenaan bukan sahaja meningkatkan hasil padi, malah menjadi pemangkin kepada peningkatan pendapatan petani serta pengukuhan ekonomi komuniti setempat.
“Pembangunan padi paya ini mencerminkan pendekatan baharu kerajaan negeri yang menekankan pertanian bersepadu, moden dan berimpak tinggi. Ia bukan sekadar menanam padi, tetapi membina ekosistem ekonomi luar bandar yang mampan.
“Kejayaan projek tersebut bergantung kepada kerjasama erat antara penduduk kampung, agensi kerajaan dan pihak pemaju bagi memastikan perancangan serta pelaksanaan berjalan secara tersusun dan berkesan,” katanya.
Menurutnya, projek ini melibatkan kawasan tanaman seluas 21 hektar (52 ekar) di Kampung Paya Beluan dan 4.45 hektar (11.04 ekar) di Kampung Paya Besar, sekali gus membuka potensi baharu sektor agromakanan di daerah Lipis.
Sementara itu, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, berkata pembangunan tanaman padi berpotensi diperluas dengan nilai tambah termasuk penghasilan produk padi serta pembangunan ekopelancongan.
“Ia berpotensi menjadi produk pelancongan baharu di kawasan Benta dan Lipis yang mampu menarik perhatian serta menjana ekonomi setempat,” katanya.
Program tersebut turut dihadiri Pegawai Daerah Lipis, Datuk Mohd Hafizi Ibrahim, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Pahang, Ir. Arman Mokhtar serta Pengarah Pertanian Negeri Pahang, Muhd Rizal Baharom.- SAHIH.
