Kemahiran Pelbagai Bahasa Pelajar Program Siswa Sulung UPSI
Foto : Dr Mohd Amir Mohd Zahari (tiga dari kiri) bersama pelajar program Sulung FBK.
Kemahiran Pelbagai Bahasa Pelajar Program Siswa Sulung UPSI
Program Pembangunan Siswa Sulung 1.0 dan 2.0 yang dianjurkan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjong Malim, Perak, telah menunjukkan kejayaan besar dalam memperkasa pelajarnya dengan kemahiran pelbagai bahasa.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Norkhalid Salimin, menyatakan bahawa mahasiswa yang menyertai program ini wajar menguasai sekurang-kurangnya tiga bahasa sebagai persediaan untuk menghadapi dunia kerjaya yang semakin mencabar.
“Malah, kebanyakan peserta program ini mampu menguasai sehingga empat bahasa serta pelbagai kemahiran lain sepanjang pengajian mereka.
“Seorang contoh cemerlang daripada program ini ialah Nurul Qasandra Dania Muhammad Luqman, pelajar semester enam dalam program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua, beliau berjaya menguasai empat bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Mandarin dan Bahasa Sepanyol,” katanya.

Nurul Qasandra Dania Muhammad Luqman (tiga dari kanan) bersama rakan-rakannya yang mengikuti Program Sulung 1.0. – Kredit photo Ihsan UPSI
Katanya, Bahasa Melayu merupakan bahasa ibundanya manakala minat yang mendalam terhadap Bahasa Inggeris sejak di bangku sekolah mendorongnya menguasai bahasa antarabangsa itu.
“DImaklumkan, pembacaan buku, tontonan filem serta mendengar lagu membantu beliau mempertingkatkan kefasihan dan keyakinan dalam bertutur dan menulis.
“Bahasa Mandarin pula dikuasai sejak kecil kerana latar belakang persekolahannya di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), di mana suasana persekitaran sekolah telah membantu penggunaan bahasa itu secara semula jadi, dan ditambah pula, mengikuti melalui Program Siswa Sulung, beliau dapat mengikuti kelas Bahasa Mandarin dari Tahap Satu hingga Tiga untuk memperkukuh penguasaannya,” katanya.
Tambahnya, sementara itu, Bahasa Sepanyol dipelajarinya sebagai satu cabaran baharu, walaupun Bahasa itu mempunyai struktur tatabahasa yang unik, pembelajaran melalui aktiviti interaktif seperti role-play, mendengar dan bertutur menjadikan proses penguasaan bahasa tersebut lebih berkesan.
Menurut Timbalan Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Dr. Mohd Amir Mohd Zahari, program Siswa Sulung memberi peluang kepada pelajar untuk mengembangkan kemahiran komunikasi dalam pelbagai bahasa, sekali gus menjadi aset penting dalam kehidupan dan kerjaya mereka di masa hadapan.-SAHIH.