KELUARGA SAHKAN MAYAT LOQMAN BERDASARKAN JAM TANGAN
KELUARGA SAHKAN MAYAT LOQMAN BERDASARKAN JAM TANGAN-MANGSA DITEMUI SELEPAS 12 HARI HILANG
TEMERLOH: Keluarga mangsa lemas yang terjatuh di Sungai Pahang berhampiran Taman Kujan, Loqman Hamka,20 mengesahkan mayat lelaki itu berdasarkan jam tangan yang masih berada di pergelangan tangan mangsa.
Abangnya, Mohd Zahir Hamka berkata, pengecaman itu dibuat berdasarkan jam tangan pemberiannya kepada mangsa.
Beliau berkata, mayat dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), di sini untuk sesi pengecaman dan bedah siasat.
Beliau berkata, mereka sekeluarga bersyukur kerana mayat adiknya ditemui nelayan di Sungai Jeti Laman Lesung,Batu Papan, Bera dalam keadaan berseluar dan memakai baju.
MOHD ZAHIR HAMKA
“Saya cam mayat adik saya kerana jam di lengannya itu merupakan pemberian saya kepadanya.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada penduduk kampung dan juga pihak berkuasa kerana bertungkus-lumus mencari adik saya selama 12 hari ini.
“Mayatnya ditemui nelayan kira-kira 7.45 pagi tadi di tepi sungai,32 kilometer daripada lokasi dia terjatuh, memandangkan air surut pada hari ini,” katanya kepada SAHIH di HOSHAS.
Pada 27 November lalu, Loqman dilaporkan hilang selepas dia dikatakan sedang merawai sangkar ikan patin di Sungai Pahang berhampiran rumahnya di Kampung Kujan,di sini.