Keluarga Orang Asli cemas, nyaris terancam, gajah liar masuk kebun durian, musnahkan rumah adat
Foto atas : Sebahagian rumah milik keluarga Norfini a/p Ajik rosak akibat dilanggar dan dilibas belalai gajah liar di Kampung Setig, Pos Betau, Lipis hari ini.
Keluarga Orang Asli cemas, nyaris terancam, gajah liar masuk kebun durian, musnahkan rumah adat
LIPIS – Nyawa sebuah keluarga Orang Asli etnik Semai nyaris terancam apabila kumpulan gajah itu menceroboh tanah adat yang ditanami durian, rambutan, pisang dan kelapa di Kampung Setig, Pos Betau kira-kira 12.30 pagi, hari ini.
Ketua keluarga berkenaan, Norfini Ajik, 49, berkata, dalam kejadian berlaku awal pagi itu , mereka yang terdiri tiga beradik menginap di rumah berkenaan kerana menjaga buah durian yang hampir luruh serta tanaman lain.
“Ketika kejadian, kami masih belum tidur tiba-tiba terdengar bunyi ranting yang patah dan atap zink yang terletak berdekatan rumah malah lama-kelamaan semakin semakin kuat bunyi benda yang dilanggar. Saya sudah mengesyaki gajah liar masuk kerana sebelum ini kampung dan tanaman di tempat lain sudah dicerobohi haiwan liar ini.
“Jangkaan saya betul apabila tiba-tiba seorang ahli keluarga yang berada di dapur menjerit gajah masuk dan meminta kami turun menyelamatkan diri,” katanya di Kampung Setig, Pos Betau dekat sini hari ini.
Menurut Norfini, mereka segera mengambil lampu suluh dan terus berlari menyelamatkan diri dan bersembunyi tidak jauh daripada rumah berkenaan dan terus mendengar bunyi papan dan kayu jatuh di rumah akibat dilibas dan dilanggar gajah liar itu.
Katanya, mereka kemudiannya bermalam di sebuah pondok berdekatan cuma dapat melihat kesan pencerobohan gajah liar itu pada hari siang apabila sebahagian rumah rosak serta banyak pokok baru ditanam seperti rambutan dan durian, manakala sebahagian pokok pisang yang berbuah dan pinang turut dipatahkan.
Seorang ahli keluarga Norfini, Salim a/l Ajik, 52, berkata, selalunya mereka sekeluarga bermalam di rumah tanah adat itu ketika musim durian meluruh selain mengambil buah pisang untuk dijual serta memantau tanaman lain dan juga kolam ternakan ikan.
“Sejak tanaman durian berbuah, kami sekeluarga memilih untuk tinggal di rumah adat ini dan pada hari biasa sebelum ini cuma datang pada sebelah pagi dan kembali bermalam di rumah terletak di Kampung Simoi Lama terletak berdekatan.
“Saya tidak menyangka kehadiran kawanan gajah liar yang terdiri kira-kira enam ekor yang sebelum ini telah masuk ke kebun durian dan tanaman pisang di kampung lain,” katanya.
Katanya, kejadian berlaku gajah liar masuk ke kawasan kebun dan penempatan berlaku sejak tahun lalu, manakala semakin agresif sejak awal tahun sehingga ini masuk ke kampung penduduk kawasan Ulu Jelai dan kawasan tanaman untuk mendapatkan makanan.-SAHIH.