Kekurangan fizikal tidak halang semangat pelajar Tingkatan Dua
Foto : Nur Airish Hani bersama-sama rakan dan guru meraikan kejayaan pada Pertandingan Bicara Berirama Peringkat Negeri Johor.
Kekurangan fizikal tidak halang semangat pelajar Tingkatan Dua
Johor Bahru – Keterbatasan fizikal tidak pernah menghalang semangat pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) IJ Convent, Johor Bahru, Nur Airish Hani Roszaidi, untuk berdiri sebaris dengan rakan-rakan lain dalam arus perdana pendidikan.
Murid berkeperluan khas (MBK) itu yang menghidap penyakit spina bifida sejak lahir, membuktikan bahawa kekuatan sebenar bukan hanya diukur daripada tubuh badan, sebaliknya pada iltizam dan keberanian untuk mencuba.

Nur Airish Hani Roszaidi meraikan kejayaan bersama ibunya.
Walaupun berdepan cabaran, Nur Airish Hani aktif dalam aktiviti kokurikulum termasuk Pertandingan Bicara Berirama. Dia bersama pasukan sekolah muncul juara peringkat daerah Johor Bahru, sekali gus menjadi kebanggaan buat sekolah.
Menurut Persatuan Spina Bifida dan Hidrosefalus Malaysia, pasukan berkenaan kemudian mewakili daerah ke peringkat negeri di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Pagoh dan berjaya meraih tempat keempat.
Walaupun tidak menjuarai pertandingan, pencapaian itu tetap dianggap luar biasa. Keberanian Nur Airish Hani berdiri di pentas dan bersuara lantang menjadi inspirasi kepada rakan-rakan serta seluruh warga sekolah.
Kejayaan tersebut jelas membuktikan bahawa pelajar berkeperluan khas juga mampu menyinar jika diberi ruang, peluang serta sokongan padu keluarga, guru dan masyarakat. – SAHIH.