Kanak-kanak tidak dapat berkhatan
Foto atas : Kanak-kanak yang menyertai Program Berkhatan Perdana mandi air pancuran bomba sebelum dikhatankan di Masjid Tengku Mahkota Abdullah Jerantut yang diadakan hari ini.
Kanak-kanak tidak dapat berkhatan
JERANTUT : Seorang kanak-kanak berusia 7 tahun yang bersiap sedia untuk berkhatan tidak dapat meneruskan hajatnya untuk berkhatan di Program Berkhatan Perdana di Masjid Tengku Mahkota Abdullah Jerantut yang diadakan hari ini.
Program itu disertai 38 orang kanak-kanak dianjurkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Jerantut dengan kerjasama Masjid Tengku Mahkota Abdullah Jerantut,” katanya
Bapa kepada kanak-kanak itu, Nik Mohd Ersyad Afifi Tajuddin terkejut anaknya tidak boleh dikhatankan hari ini dan dimaklumkan oleh doktor yang bertugas di situ disebabkan masalah phimosis yang dihadapi anaknya.
“Anak saya telah bersiap sedia dan bangun awal pagi ini, mengambil sarapan dan tidak menunjukkan rasa takut, malah bersedia untuk berkhatan.
“Anak saya tahu dan bersedia, sebagai seorang lelaki Muslim perlu melalui proses ini, dia tidak bimbang dan bersedia dengan rasa sakit sedikit seperti dicubit,” katanya ketika ditemui selepas keluar dari bilik berkhatan.
Katanya, anaknya telah dimaklumkan berkaitan proses dan keperluan berkhatan, malah neneknya memberi minum air zam-zam sebelum ke program berkhatan untuk mengelakkan rasa gugup.
Sementara itu, Pegawai Kesihatan Daerah Jerantut, Dr. Amir Faisal Datuk Mohd Khairi berkata, memang terdapat kanak-kanak yang menghadapi phimosis iaitu masalah kelainan pada kemaluan lelaki yang belum disunat.
“Ini disebabkan kulit kepala kemaluan yang melekat erat berlaku, perkara ini merupakan hal yang normal dan banyak terjadi pada bayi dan kanak-kanak.
“Ibubapa jangan khuatir, perkara ini adalah perkara biasa dan selalu berlaku kepada kanak-kanak terutama masih muda, dalam program ini, seramai 38 kanak-kanak telah dikhatankan dengan selamat menggunakan kaedah ‘dorsal slit’,” katanya.- SAHIH.