Kampung Bantal banjir semula
Kampung Bantal banjir semula
JERANTUT – Hujan lebat tidak berhenti-henti sejak semalam di kawasan pedalaman menyebabkan paras air dua batang sungai utama, iaitu Sungai Tembeling dan Sungai Sepia di kawasan Ulu Tembeling turut naik setinggi 105.46 meter
Siren berbunyi pada jam 4.19 pagi, mengejutkan penduduk yang sedang nyenyak tidur dan bergegas bangun dan air Sungai Tembeling sudah melimpah di dataran kedai kopi, jeti bot penambang dan beberapa buah rumah di Kampung Bantal, Ulu Tembeling dekat sini, hari ini.
Facebook Jabatan Meteorologi Malaysia, melaporkan hujan lebat dijangka berterusan di Pahang membabitkan kawasan pedalaman termasuk Jerantut antara terkesan sejak semalam.
Penduduk Kampung Bantal Seberang, Jamizan Rashid, 44, berkata, tidak menjangka air sudah mula memenuhi dataran kampung pada awal pagi hari ini apabila terdengar siren amaran Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) sehingga mengejutkan penduduk yang sedang nyenyak tidur.
“Tanda penyukat banjir JPS merekodkan paras air setinggi 105.46 meter dan menunjukkan paras air semakin naik memenuhi dataran perniagaan kampung ini pada jam 9.00 pagi hari ini,” katanya ketika dihubungi di Kampung Bantal dekat sini hari ini.
Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah, Kapt. (PA) Muszaidi Musa melaporkan Sungai Tembeling di Kampung Bantal menunjukkan trend semakin menaik, manakala tempat lain masih terkawal.
“Anggota APM sedang bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan dan hujan masih turun pada pagi ini,” katanya..
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Mohd. Zakhwan Ahmad Badarddin berkata, diharapkan penduduk yang tinggal di pinggir sungai kampung tersebut diminta berwaspada dan menjaga keselamatan keluarga terutamanya memantau pergerakan anak-anak supaya jangan bermain air semasa cuti sekolah ini.