Jalan berlumpur jejas kehidupan penduduk Kampung di Jelebu
Foto : Jalan tanah iaitu laluan utama ke kebun dan kolam ternakan ikan penduduk kampung berlopak dan berlekuk digenangi air hujan.
Umpama peribahasa “ombaknya kedengaran, pasirnya tidak kelihatan”, begitulah nasib penduduk di Lot 2146 dan Lot 328, Kampung Lubuk Ghancung serta Kampung Esok, Jelebu, Negeri Sembilan yang terus dibelenggu masalah jalan berlumpur.
Beberapa aduan sudah disuarakan agar laluan utama sepanjang lebih satu kilometer itu dibaiki. Namun sehingga sambutan Hari Kemerdekaan ke-68 baru-baru ini, usaha penyelesaian masih bagaikan “khabar didengar, buktinya tiada”.
Jalan berkenaan amat penting untuk penduduk ke kebun dan kolam ternakan ikan. Malangnya, apabila hujan turun, tanah merah dan selut tebal menjadikan laluan itu hampir mustahil dilalui.
Seorang penduduk, Sha’ari Shamsudin, berkata masalah itu berlarutan sejak sekian lama sehingga menyukarkan mereka mengeluarkan hasil kebun.
“Tayar motosikal dan kenderaan pacuan empat roda mudah tenggelam dalam selut. Lebih sukar bagi saya yang berusia lanjut serta menghidap kencing manis, terpaksa meredah lopak dengan hasil tanaman di belakang,” katanya.
Bagi Kamarudin Ibrahim pula, sekurang-kurangnya jalan itu diturap dengan batu kerikil dan dipadatkan pasir sebagai langkah sementara.
“Cara itu boleh meratakan lopak air hujan dan mengelakkan tayar kenderaan terbenam, sekali gus memudahkan urusan mengangkut hasil kebun seperti durian.
”Sebelum ini pihak pengurusan ladang berhampiran pernah membantu meratakan tanah bagi mengurangkan lopak, namun ia hanya sementara. Jika pihak berwajib benar-benar maklum, kami harap mereka turun padang membuat tinjauan serta mencari jalan penyelesaian,” katanya.-SAHIH.