IPT selaras program Sesi Libat Urus KPM
Foto : Seramai 176 wakil institusi pendidikan menghadiri program Sesi Libat Urus (SLU) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersama Institusi Pengajian Tinggi (IPT) untuk menyelaras dan meningkatkan kefahaman mengenai pelaksanaan Latihan Mengajar dan Praktikum (Internship) di institusi pendidikan bawah kementerian berkenaan.
IPT selaras program Sesi Libat Urus KPM
Institusi Pengajian Tinggi (IPT) menyelaras dan meningkatkan kefahaman mengenai program Sesi Libat Urus (SLU) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam pelaksanaan Latihan Mengajar dan Praktikum (Internship) di institusi pendidikan kementerian berkenaan.
Program itu dihadiri 176 wakil KPM dianjurkan oleh Pusat Latihan Mengajar dan Latihan Industri (PuLaMI), Universiti Pendidikan Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, dirasmikan oleh Timbalan Pengarah, Sektor Perancangan dan Pengoperasian Pendidikan, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan Malaysia, Ismail Ibrahim, di Bilik Seminar Aminudin Baki, Fakulti Pembangunan Manusia, UPSI baru-baru ini.
Timbalan Pengarah, Sektor Perancangan dan Pengoperasian Pendidikan, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan Malaysia, Ismail Ibrahim.
Ismail berkata, penganjuran SLU itu menjadi medium untuk KPM menyampaikan maklumat yang tepat berkaitan tatacara pengoperasian dan pelaksanaan latihan mengajar, praktikal, internship atau latihan industri di institusi pendidikan di bawah KPM.
“Latihan Mengajar dan Latihan Industri sangat memberi impak yang signifikan kepada warga institusi pendidikan di bawah KPM.
“Platform itu bukan sahaja untuk guru pelatih atau pelajar mendapatkan pengalaman sebenar menjadi seorang pendidik tetapi juga adalah medan untuk pertukaran ilmu, pengalaman dan kemahiran antara guru pelatih serta guru terlatih,” katanya.
Katanya, perkembangan teknologi yang pesat memberi impak besar kepada dunia pendidikan negara dan kehadiran guru pelatih atau pelajar IPT yang kebanyakkan daripada dalam golongan Gen Z yang dilihat mampu menjadi pendorong kepada guru milenial (Gen Y) dan guru Gen X kerana mereka sangat mahir mengendalikan pelbagai aplikasi gajet, ini secara tidak langsung dapat berkongsi kemahiran dengan guru terlatih sedia ada di sekolah,” tambah beliau.
Antara wakil itu membabitkan 20 dari KPM, Jabatan Pendidikan Negeri seluruh Malaysia (16), Institusi Pendidikan Tinggi Awam (20) dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (120) hadir dalam SLU berkenaan.
Turut hadir, Peguam Kanan Persekutuan, Unit Khidmat Nasihat (Dasar dan Perundangan), Pejabat Penasihat Undang-Undang, KPM, Hanim Abdul Rahman; Penolong Pengarah Unit Gubalan Akta dan Dasar, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Dr Noraini Abdul Latif; Pengarah Pusat Latihan Mengajar dan Industri, Prof Madya Dr Ashardi Abas serta Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat, Prof Madya Dr Mohd Izwan Shahril.
Pengarah, Akademik dan Antarabangsa UPSI, Prof Madya Dr Ridzwan Che Rus.
Sementara itu, Pengarah, Akademik dan Antarabangsa UPSI, Prof Madya Dr Ridzwan Che Rus, berkata UPSI sebagai sebuah universiti berteraskan pendidikan, amat menyokong usaha KPM mengadakan SLU berkenaan.
“Untuk rekod, UPSI sendiri mengeluarkan lebih 3,000 mahasiswa bagi menjalani Latihan Mengajar dan Industri Kaunseling dan lebih 3,000 mahasiswa bagi menjalani program Perantis Guru di sekolah dan institusi pendidikan terbabit setiap tahun.
“Perkara ini sedikit sebanyak dapat membantu PuLaMI, UPSI mengendalikan pengurusan penempatan Latihan Mengajar dan Perantis Guru dengan lebih sistematik pada masa akan datang,” kata beliau. – SAHIH.